Translate

29/05/2014

Bekas Inspektor Penyelenggaraan BP Chemical Disabit 21 Tuduhan Rasuah, Penggubahan Wang Haram



AYER KEROH, 28 Mei - Seorang bekas Inspektor Penyelenggaraan BP Chemical Sdn Bhd hari ini disabitkan dengan 21 pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 4, Ahmad Sazali Omar mensabitkan T. Gauthaman, 45, dengan tujuh pertuduhan di bawah Sekyen 10(a)(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan satu pertuduhan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dia turut disabitkan dengan 13 pertuduhan di bawah Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Ketika membacakan keputusan, hakim berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes 'prima facie' dan melampui keraguan yang munasabah serta berjaya membuktikan wang yang diterima tertuduh merupakan wang rasuah. 

Gauthaman dituduh pada 10 Januari 2012 berhubung kesalahan rasuah dan penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan antara 2006 dan 2010.

Tertuduh menghadapi lapan tuduhan menerima suapan berjumlah RM341,922 daripada Ghang Min Goo sebagai upah bagi membantu Syarikat Soo Min Inc. mendapatkan tawaran kerja membekal dan membaiki peralatan Bellos di BP Chemical(M) Sdn Bhd.

Dia juga berdepan dengan 13 pertuduhan melibatkan diri dalam penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan dengan menggunakan wang hasil aktiviti haram untuk membayar deposit membeli sebuah kereta dan polisi insurans hayat.

Gauthaman didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Maybank dan HSBC Jalan Hang Tuah di sini dan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad cawangan Melaka di Plaza Mahkota antara 3 Februari 2006 dan 6 Mei 2010.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Heikal Ismail dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Timbalan Pendakwa Raya Thangavelu A.Suppiah dari Unit Pelucuthakkan Harta Jabatan Peguam Negara manakala tertuduh diwakili Moghan & Co.

Hakim membenarkan penangguhan hukuman sehingga 9 Jun ini bagi urusan mitigasi setelah mengambil kira hujah-hujah peguam tertuduh.

Sumber:sprm

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...