Isnin, 28 April 2014

Imam Besar Masjid Negara Rayu Presiden Obama Hentikan Penindasan Terhadap Umat Islam Seluruh Dunia



KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad merayu Presiden Amerika Syarikat Barack Obama supaya menghentikan penindasan terhadap masyarakat Islam seluruh dunia.

Syaikh Ismail mengambil peluang menyuarakan hasratnya itu kepada Obama semasa mengiringi Presiden Amerika Syarikat itu dalam lawatan ke Masjid Negara dan Makam Pahlawan di Jalan Perdana di ibu negara, pagi Ahad.

Obama dalam jawapannya kepada permintaan itu berkata "doakan saya," kata Ismail kepada pemberita selepas lawatan pemimpin Amerika itu ke kedua-dua monumen terkenal itu.

Syaikh Ismail berkata Obama memberitahunya bahawa setiap hari apabila bangun dari tidur, beliau sentiasa berusaha untuk menghentikan penindasan dan konflik membabitkan masyarakat.

Syaikh Ismail, 70, melahirkan keterujaannya kerana pertemuan bersejarahnya dengan Obama, iaitu yang kedua bagi beliau dengan seorang presiden Amerika Syarikat yang memegang tampuk kuasa.

Pertemuan pertama ialah dengan Presiden Lyndon B.Johnson pada 1966, kira-kira 48 tahun lalu apabila beliau baru berusia 22 tahun dan menjadi seorang pelajar tahfiz.

"Tidak menyangka bahawa saya akan menemui seorang lagi Presiden Amerika Syarikat dalam hidup saya selepas hampir 50 tahun," kata imam besar Masjid Negara itu.

Syaikh Ismail kagum dengan kebolehan Obama untuk memahami bahasa Malaysia apabila beliau kadang-kadang bertutur dalam bahasa itu dengan Presiden Amerika Syarikat itu.

Di sebalik perbendaharaan kata yang terbatas, Obama kerap kali menjawab "Insya-Allah" dan "Terima Kasih," katanya.

"Memang baik baginya walaupun beliau tidak boleh banyak bertutur dalam bahasa Malaysia tetapi beliau memahami apa yang saya katakan kepada beliau," kata Syaikh Ismail tersenyum.

Lawatan Obama ke Masjid Negara merupakan aturcara pertama hari kedua lawatannya ke Malaysia dan lawatan ke masjid berkenaan menandakan penerimaan beliau kepada amalan kesederhanaan dalam Islam di negara ini yang majoriti penduduknya yang berjumlah 30 juta beragama Islam.

Obama, yang tiba Sabtu untuk lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia, diiringi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar selaku Menteri Pengiring dan Duta Khas Amerika Syarikat ke Pertubuhan Kerjasama Islam, Rashad Hussain.

Selepas lawatan Obama itu, Syaikh Ismail mengadakan pertemuan singkat dengan Rashad yang antara lain menyentuh tentang perbankan Islam, program pembangunan usahawan Muslim dan hab halal.

Syaikh Ismail berkata Rashad melahirkan rasa kagum Amerika Syarikat terhadap sistem perbankan Islam yang dilaksanakan di negara ini dan berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

--BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...