Isnin, 14 April 2014

BR1M PUNCA RAKYAT MALAYSIA JADI MALAS ???



MELAKA, 12 April (Bernama) -- Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukanlah suatu penyelesaian jangka panjang bagi menghapuskan masalah kemiskinan dalam kalangan rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Sebaliknya, dalam menangani isu itu, rakyat negara ini terutama kaum Melayu diseru menceburi bidang perniagaan dan keusahawan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang.

Beliau berkata kerajaan juga melaksanakan pelbagai inisiatif bagi melahirkan lebih ramai rakyat berpendapatan tinggi sejak zaman kemerdekaan lagi.

"Rakyat tidak boleh terus bergantung kepada bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan seperti BR1M kerana ia hanyalah untuk meringankan sedikit beban mereka.

"Kita (orang Melayu) perlu mencontohi masyarakat Cina di negara ini yang rata-rata berniaga dan menjadi usahawan," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Ahmad berkata kerajaan telah menyediakan pelbagai tabung dan bantuan keusahawanan kepada rakyat terutama kaum Bumiputera di negara untuk menceburi bidang perniagaan.

Beliau berkata kerajaan juga memberi peruntukan tambahan kepada beberapa tabung keusahawanan tabung Perusahaan Kecil dan Sederhana sebanyak RM10 juta, Tabung Tunas Usahawan Belia (RM10 juta), Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (RM100 juta), Amanah Ikhtiar Malaysia (RM300 juta), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (RM700 juta), Tabung Usahawan Siswazah (RM50 juta) dan Dana Pasar Malam sebanyak RM100 juta.

Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan cawangan House of Mini di Dataran Pahlawan di sini, hari ini milik Ketua Pegawai Eksekutif Dragon Heart Sdn Bhd Anuar Hassan.

Anuar menyasarkan syarikatnya untuk membuka 20 cawangan kedai kek cawan dan donut mini di Semenanjung Malaysia menjelang penghujung tahun ini.-- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...