Translate

11/03/2014

SPRM Siasat Setiap Maklumat


MERUJUK kepada laporan blog Teganuku, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan bahawa SPRM menyiasat setiap aduan dan maklumat yang diterima dengan bebas, telus dan profesionalisme.

SPRM menerima kunjungan pemimpin-pemimpin PAS dan PKR Jumaat lalu susulan permintaan yang dibuat bagi mendapatkan penjelasan berhubung beberapa aduan yang dibuat.

Antara isu yang dibangkitkan ialah pembalakan, perlombongan, pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 2 dan kes bumbung stadium runtuh.

Dalam menjalankan siasatan, SPRM akan menyiasat semua maklumat yang diterima mengenai dakwaan berlakunya unsur-unsur rasuah serta salah guna kuasa mengikut lunas perundangan dan akan mendapatkan keterangan daripada semua saksi.

Justeru, SPRM ingin menjelaskan tidak timbul soal SPRM Terengganu dihina atau tidak berfungsi apabila ibu pejabat menerima kunjungan Jumaat lalu.

SPRM juga ingin menegaskan bahawa SPRM tidak sewenang-wenangnya boleh menutup sebarang kes kerana Panel Penilaian Operasi (PPO) akan meneliti status setiap kes yang disiasat. PPO merupakan mekanisme 'check and balance' terhadap kes penyiasatan yang dijalankan.

Sementara ada aduan yang masih disiasat dan diteliti, SPRM ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa dalam kes bumbung stadium runtuh, siasatan dijalankan dengan pembabitan pakar-pakar forensik kejuruteraan dan kewangan dari sektor swasta, yang khusus dibawa untuk menyemak segala butiran dari perspektif kejuruteraan dan kewangan.

Berhubung isu pembalakan pula, siasatan telah dijalankan dan SPRM akan mengemukakan hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

Pada pertemuaan Jumaat lalu, SPRM turut menyarankan supaya kerjasama semua pihak termasuk parti politik amat penting terutama dalam usaha mencegah rasuah dan meminta ahli-ahli Parlimen untuk menyokong pindaan undang-undang bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan dengan lebih efektif.

SPRM mengalu-alukan kerjasama yang diterima daripada wakil PAS dan PKR Terengganu yang turut bersedia memberi sebarang maklumat lanjut yang diperlukan.

Pengarah SPRM Terengganu
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

23 Februari 2014

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...