Translate

20/03/2014

Bekas Pengarah Veterinar Negeri Sembilan Terima Hukuman Penjara Empat Tahun Dan Denda RM 40,000

 
SEREMBAN, 21 Februari – Mahkamah hari ini membenarkan rayuan pihak pendakwaraya dan  menetapkan  hukuman penjara empat tahun dan denda RM 10,000 bagi setiap kesalahan yang disabitkan terhadap bekas Pengarah Veterinar Negeri Sembilan, Datuk Dr Noor Soeraya Norsham.
 
Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd Yusof mensabitkan tertuduh bersalah bagi empat tuduhan dibawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan  membabitkan pemalsuan dokumen bagi kenaikan gred jawatannya.
 
Beliau turut memutuskan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.
 
Januari tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Nursinah Adzmi melepas dan membebaskan bekas Pengarah Veterinar Negeri Sembilan, Datuk Dr Noor Soeraya Norsham, atas empat tuduhan pemalsuan dokumen kenaikan gred jawatannya.
 
Keputusan itu dibuat Hakim Datin Nursinah Adzmi, selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan terhadap empat pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
 
Tiga daripada pertuduhan itu ialah menggunakan dokumen, iaitu Surat Arahan Kenaikan Pangkat dan Pengesahan Jawatan Pegawai Veterinar Gred G48; Arahan Memangku Jawatan Pegawai Veterinar Gred G52 Khas Untuk Penyandang (KUP) dan Keputusan Urusan Kenaikan Pangkat Pegawai Veterinar Gred G48 ke Gred G52 kepada seorang Pembantu Tadbir  jabatan yang diketuainya.
 
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 16 Mac 2009, 5 Januari 2010 dan 2 Julai 2010 di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sembilan, Jalan Pantai di sini, bagi tujuan pelarasan gaji dan elaunnya.
 
Bagi pertuduhan keempat, Dr Noor Soeraya didakwa menggunakan dokumen palsu Surat Keputusan Pemangkuan Pegawai Veterinar Gred G52 ke Gred G54 yang didakwa tulen bagi menipu Pembantu Tadbir sama di Bahagian Pentadbiran JPV Negeri Sembilan, pada 12 April 2011.
 
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afifah Yusof, manakala tertuduh diwakili Abdul Aziz Hamzah, Faiz Fadil dan Syed Fadil. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...