Translate

25/02/2014

2 Termasuk Pegawai Polis Didakwa Terima Rasuah


SHAH ALAM, 18 Februari - Dua dituduh termasuk seorang Deputy Superitendant Polis (DSP) di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini hari ini membabitkan kesalahan meminta dan menerima suapan.

Nik Azainoon Nik Aziz, 52 dituduh melakukan dua  kesalahan di bawah Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan satu kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (ASPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) Akta yang sama membabitkan suapan berjumlah RM 21,000.

Pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah secara rasuah bersetuju untuk menerima suapan RM 10,000 pada 5 November 2008 jam 9.30 malam di sebuah restoran di Ampang Selangor.

Pertuduhan kedua tertuduh didakwa bersubahat dengan Roslan Jali untuk secara rasuah menyetuju terima suapan wang tunai RM 4,000 di antara 6 hingga 30 November 2008 di sebuah restoran di Ampang Selangor.

Manakala pada 4 Februari 2009 di Restoran A & W Bandar Baru Petaling Jaya, Selangor tertuduh didakwa telah bersubahat dengan Roslan Jali untuk secara rasuah menyetuju terima RM 7,000.

Kesemua suapan tersebut diterima  daripada Che Ayub Senik untuk menghilangkan rekod kesalahan jenayah Che Ayub yang telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan black money.

Pihak pendakwaan SPRM yang diwakili Pegawai Pendakwa Sukri Seman memohon wang jaminan sebanyak RM 5,000 bagi setiap kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah tersebut dikurangkan memandangkan ketika ia beliau telah digantung tugas dengan hanya menerima separuh gaji.

Pada rayuannya, tertuduh menyatakan bahawa beliau mempunyai tangunggan ramai, dengan enam anak masih belajar dan mempunyai penyakit kencing manis yang kronik.

Hakim M Bakri Majid membenarkan tertuduh diikat jamin dengan bon jaminan sebanyak RM 10,000.

Turut dituduh ialah Roslan Jali, 47, yang menerima dua pertuduhan membabitkan kesalahan menerima suapan.

Pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 apabila apabila telah secara rasuah menyetuju terima bagi Nik Azainoon Nik Aziz suapan wang tunai RM 4,000 daripada Che Ayub Senik diantara 6 hingga 30 November 2008 jam 9.30 malam di sebuah restoran di Jalan Dagang, Ampang Selangor.

Pertuduhan kedua, Roslan didakwa dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia apabila  telah secara rasuah menyetuju terima bagi Nik Azainoon Nik Aziz suapan wang tunai RM 7,000 daripada Che Ayub Senik pada 4 Februari 2009 di Restoran A&W, Bandar Baru Petaling, Selangor.

Kesemua suapan tersebut diterima sebagai dorongan untuk Nik Azainoon iaitu Deputy Superitendandt di Jabatan Jenayah Komersil, Bukit Aman, untuk menghilangkan rekod kesalahan jenayah Che Ayub yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan Black Money.

Tertuduh yang membuat rayuan melalui peguamnya, Dato' Hakimi Abd Kadir memohon wang jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh perlu menanggung keluarganya dan memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

Hakim, membenarkan bon jaminan bercagar RM 7,000 ke atas tertuduh dan tarikh 12 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes.

Sekiranya sabit kesalahan di bawah APR 1997, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.


Sekiranya sabit kesalahan di bawah ASPRM  2009, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Sumber:portalsprm

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...