Translate

18/12/2013

PENCURI MAYAT


JAKARTA 15 Dis. - Misteri kes pencurian mayat di sebuah tanah perkuburan di Cilacap, Jawa Tengah terbongkar apabila polis menangkap suspek yang disyaki melakukan aktiviti itu, semalam.

Penangkapan Resi Rookiswana atau lebih dikenali sebagai Pamungkas meredakan keresahan masyarakat setempat selepas beberapa tanah kubur didapati diceroboh dan mayat pula dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Pelaku ditangkap di pinggir jalan di Cilacap Tengah awal pagi ini selepas polis mengawasi pergerakannya sejak malam Sabtu," kata jurucakap polis, Agus Puryadi kepada wartawan.

Kata Agus, suspek berusia 27 tahun itu merupakan seorang penjenayah dan terlibat dalam kes mencuri motosikal serta pernah dipenjarakan sebanyak dua kali sebelum ini.

Polis turut mendapati beberapa peralatan yang digunakan Pamungkas untuk menggali tanah kubur ketika dia ditahan.

Sebelum ini, warga Cilacap digemparkan dengan kejadian pencurian mayat sepasang bayi kembar dan seorang gadis yang dilakukan secara misteri sejak seminggu lalu.

Mayat bayi kembar itu ialah Yuliana dan Yuliani yang lahir tidak cukup bulan serta Endah Setyowati yang berusia 24 tahun.

Kubur Yuliani yang meninggal dunia pada 16 November lalu digali pada 6 Disember lalu dan suspek mengambil tali kafan mayat bayi tersebut, sementara kubur kembarnya, Yuliana yang meninggal sehari kemudian pula digali pada 7 Disember dan suspek membawa lari mayat berkenaan.

Sementara pencurian mayat Endah pula dilakukan di Tanah Perkuburan Umum Sabuk Janur, Cilacap Utara pada 12 Disember lalu.

Apa yang menggemparkan, suspek hanya mengambil bahagian leher hingga kepala gadis yang meninggal dunia pada 8 Ogos 2012.

Selain tiga kubur berkenaan, dua kubur bayi lain juga dilaporkan digalir orang yang tidak diketahui pada awal bulan ini. - UTUSAN

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...