Jumaat, 27 Disember 2013

Ops Bali - Pengarah Syarikat Perikanan Di Denda RM 200,000


KUALA LUMPUR - Pengarah sebuah syarikat perikanan yang dituduh memberi rasuah kepada penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Oktober lalu, dikenakan denda RM 200,000 dan penjara sehari setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Choh Chaw Khiang, 41, Pengarah Syarikat Gabungan Mesra Sdn Bhd mengaku bersalah pada tiga pertuduhan pilihan dibawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang dihadapkan kepadanya.

Pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa telah memberikan wang tunai RM 100,000.00 kepada seorang individu kononnya untuk diberikan kepada pegawai APMM, Putrajaya.

Suapan tersebut diberikan tertuduh dalam dua transaksi berbeza pada tarikh yang sama iaitu pada 8 Jun 2013.

Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa telah memberikan wang tunai RM 50,000.00 pada 23 Mei 2013 kepada seorang individu kononnya untuk diberikan kepada Pegawai Atasan APMM, bagi melepaskan dua bot yang ditahan.

Perbuatan tersebut dilakukan di Restoran Melting Pot, Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Wang tersebut sebagai dorongan untuk melepaskan dua bot iaitu KNF 7820 dan KNF 7842 milik syarikatnya yang telah ditahan oleh pihak APMM atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

Terdahulu pada 2 Oktober lalu, tertuduh telah didakwa di Mahkamah yang sama di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 membabitkan kesalahan memberi suapan RM 200,000 bagi melepaskan bot yang di tahan APMM.

Tertuduh antara individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Ops Bali, September lalu membabitkan mereka yang disyaki terbabit dalam sindiket melindungi aktiviti pukat tunda di perairan negara.

Peguam tertuduh Vasudevan Appu  dalam rayuannya memohon tertuduh cuma diberikan denda sahaja dengan menyatakan bahawa ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan ketika ini tertuduh  yang menetap di Kuantan kini sedang berhadapan dengan masalah banjir.

Menurutnya perniagaan anak guamnya juda sedang merosot dan syarikat tidak berupaya beroperasi, malah nelayan yang bekerja memungut hasil ikan juga telah berhenti.

"Beliau rasa malu dan  perkara ini telah menginsafkan beliau suapaya tidak mengulangi kesalahan, maka beliau telah membuat pengakuan bersalah hari ini," katanya.

Pegawai Pendakwa, Mohd Nur Lokman Samingan dalam hujahnya memohon supaya hukuman yang diberikan setimpal,  boleh mendatangkan impak kepada masyarakat dan terhadap industri perikanan.

Ketika diminta menyatakan  rayuan sendiri,  Cho berkata dia mengaku salah atas perbuatannya,  dia seorang ahli perniagaan yang hanya  mahu menolong orang sahaja dan tidak menyangka akan jadi begini.

Hakim Rosbiahanin Ariffin menetapkan hukuman penjara sehari dan denda RM 80,000 setiap satu bagi kesalahan pilihan pertama dan kedua yang disabitkan ke atas tertuduh.

Manakala bagi pertuduhan pilihan kedua tertuduh dikenakan penjara sehari dan denda RM 40,000.

Hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak dan wang rasuah di kredit kepada hasil kerajaan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...