Translate

03/11/2013

TAHNIAH POLIS MERIN: TINDAKAN LEBIH TEGAS MEMBENTERAS SALAH GUNA LESEN BOT TEMPATAN


TINDAKAN YANG DIAMBIL OLEH PASUKAN POLIS MERIN KEATAS PENGUSAHA BOT NELAYAN TEMPATAN MENYALAHGUNA LESEN DENGAN MEMAJAKNYA KEPADA NELAYAN ASING, PERLU DITERUSKAN.

SELAIN DARIPADA TINDAKAN DIAMBIL KE ATAS PERMIT LAUT DALAM YANG DIKELUARKAN OLEH JABATAN PERIKANAN DIMONOPOLI OLEH GOLONGAN VVIP DAN INDIVIDU BERPENGARUH KERANA 'WANG'

KUANTAN 1 Nov. - Tangkapan beberapa individu yang merasuah anggota penguat kuasa tidak mampu menyelesaikan masalah nelayan di negara ini jika masih ramai pengusaha bot nelayan tempatan menyalahgunakan lesen dimiliki dengan memajaknya kepada nelayan asing.

Nelayan turut mendakwa lesen atau permit laut dalam yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan dimonopoli oleh golongan kenamaan (VVIP) dan individu berpengaruh menyebabkan nelayan asing yang menyewa bot daripada mereka ‘kebal’ daripada dikenakan tindakan.

Amalan menyalahgunakan lesen itu memberi keuntungan lumayan kepada pemilik lesen bot tempatan kerana mereka mampu memperoleh pendapatan mencecah RM50,000 sebulan apabila nelayan asing membayar RM5,000 bagi setiap bot yang dipajak tanpa perlu mereka menyediakan bot, menggaji pekerja dan bersusah-payah turun menangkap ikan ke laut.

Lesen itu juga membolehkan nelayan asing bebas menangkap ikan dan lain-lain hasil laut di perairan negara ini kerana pihak berkuasa tidak boleh mengambil tindakan terhadap mereka ekoran bot digunakan adalah bot tempatan yang memiliki lesen yang sah.

Difahamkan, pihak berkuasa hanya boleh mengambil tindakan terhadap nelayan asing jika mereka menangkap ikan menggunakan pukat ganding yang diharamkan iaitu pukat yang ditarik secara bergandingan menggunakan dua atau tiga bot.

Namun, amat sukar mahu menangkap nelayan asing melakukan kesalahan tersebut kerana didakwa ada ‘tali barut’ dalam agensi penguat kuasa yang membocorkan maklumat apabila serbuan dilakukan setelah diberi rasuah.

Perbuatan nelayan asing menangkap ikan menggunakan pukat ganding yang mempunyai mata gergaji besi dan tali fiber yang boleh mengaut semua hasil di dasar laut sehingga bersih termasuk karang dan ikan kecil menyebabkan pendapatan nelayan tempatan merosot 50 peratus berbanding tiga tahun lalu kerana hasil laut semakin pupus.

Bukan itu sahaja, nelayan tempatan juga menanggung kerugian besar kerana peralatan menangkap ikan seperti bubu dan unjang bernilai ribuan ringgit yang dipasang di laut, musnah dirosakkan oleh bot pukat ganding milik nelayan asing.

Akibatnya, nelayan tempatan hanya mampu memperoleh ikan bersaiz kecil dan kurang berkualiti kerana semua ikan gred terbaik diambil oleh nelayan asing yang akan menjual hasil tangkapan itu kepada peraih dari negara mereka yang sedia menunggu dengan kapal besar di tengah laut.

Walaupun menangkap ikan menggunakan bot nelayan tempatan dan dibenarkan membeli diesel subsidi kerajaan, nelayan asing yang menggunakan lesen ‘ali baba’ tidak akan mendaratkan hasil tangkapan berkualiti di negara ini tetapi hanya membawa ikan-ikan kecil atau dikenali sebagai ikan baja (ikan digunakan membuat baja) untuk dijual.

KLIK DISINI untuk berita selanjutnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...