Translate

23/11/2013

Orang terkuat dunia di Dataran Merdeka

Orang terkuat dunia di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur bakal mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila menjadi yang pertama di Asia, terpilih sebagai tuan rumah Liga Juara-Juara Orang Terkuat Dunia (SCL) 2013.

Pertandingan yang akan berlangsung esok dan Ahad ini bakal menyaksikan pertarungan akhir 10 lelaki terkuat dunia setelah melalui 15 sirkuit pertandingan di negara-negara terkemuka dunia sepanjang tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal berkata, menjadi satu kebanggaan buat warga kota kerana menjadi lokasi kemuncak acara sukan bertaraf dunia dan bakal menyaksikan pertabalan orang paling kuat dunia pada ta hun ini.

“Menerusi acara yang bakal dipancarkan secara langsung di 48 saluran televisyen seluruh dunia ini, secara tidak langsung, ia dapat mempromosikan Kuala Lumpur di mata dunia seiring dengan Program Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya pada sidang media SCL.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SCL Malaysia, Dr Sabina Topcic dan Pengarah SCL Malaysia, Enis Arnaut.

SCL 2013 berlangsung di Dataran Merdeka anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Strongman Champions League (SCL) Malaysia, manakala penyiar rasmi pertandingan ini adalah Eurosports dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pertandingan akhir itu juga menyaksikan kehadiran juara bertahan dari Lithuania, Zydrunas Savickas yang bertanding dalam lapan disiplin acara termasuk menarik treler, mengangkat kereta, melantun tayar seberat 400 kilogram dan mengangkat balak.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...