Translate

16/10/2013

PERTINGKAT PEMANTAUAN dan PERKETAT PROSES PENGAMBILAN


Insiden tragis melibatkan seorang anggota polis yang menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum membunuh diri baru-baru ini di Ledang, Johor, menunjukkan soal tekanan mental yang dialami anggota keselamatan tidak boleh dipandang remeh.

Tekanan jiwa yang dihadapi mereka, baik dalam soal peribadi mahupun profesion wajar diberi perhatian bagi memastikan mereka tidak mengalami stres kritikal sehingga mengambil tindakan di luar jangkaan.

Ini apabila membabitkan mereka dalam pakaian seragam biru, akibatnya sangat berbahaya memandangkan mereka memegang senjata api.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin pula baru-baru ini berkata PDRM akan mempertingkatkan pemantauan serta pemeriksaan kesihatan mental anggotanya bagi memastikan mereka yang mengalami tekanan perasaan dapat dibantu dari awal.

Beliau berkata langkah itu perlu dilaksana segera untuk memastikan tiada anggota atau warga PDRM hilang pertimbangan lalu bertindak di luar batasan, selain mencari jalan penyelesaian terbaik supaya kejadian seumpama itu tidak lagi berulang.

"Kita perlu membantu pegawai atau anggota yang berdepan masalah. Jika ada yang mengalami tekanan perasaan sebagai contoh, kena ada usaha untuk membantu menyelesaikan masalah itu," katanya.

Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar pula mencadangkan agar PDRM memperketatkan proses pengambilan anggota dengan menyelitkan ujian psikologi atau stres bagi mengesan peringkat awal masalah kesihatan mental yang adakalanya disebabkan keturunan.

"Sebelum pengambilan anggota, adalah perlu dibuat pemeriksaan latar belakang dan juga 'stress test' atau ujian tertentu oleh pakar bagi memastikan mereka tidak mempunyai masalah daripada segi mental kerana tugas kepolisan ini amat mencabar dan menuntut ketahanan mental dan fizikal.

"....jika dari awal didapati mereka tidak mampu untuk menangani stres, sudah tentu mereka tidak sesuai untuk menyarung uniform biru," katanya.

Bagaimanapun, bagi anggota sedia ada, PDRM perlu memperbanyakkan latihan atau aktiviti seperti kursus ketenangan jiwa dan kursus mengatasi stres yang direka khas bagi menangani masalah suasana kerja dan kehidupan yang menekan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...