Jumaat, 18 Oktober 2013

Dua Lagi Dituduh Beri Rasuah Lindungi Sindiket Pukat Tunda

bt_pukat_tunda2.jpg
TAHNIAH SPRM DIATAS TINDAKAN YANG DIAMBIL, MEMBERI KESAN YANG POSITIF TERHADAP NELAYAN PANTAI DENGAN KERAKUSAN BOT-BOT PUKAT TUNDA MERANAPKAN HASIL TANGKAPAN PARA NELAYAN.

Dua lagi individu yang terbabit dalam sindiket pukat tunda dalam aktiviti perikanan di perairan negara ini, dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 9 Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menawar dan memberi suapan kepada anggota penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi melindungi bot nelayan Vietnam  yang menangkap ikan di perairan negara.

Pengusaha bot, Law Chark Huat, 42 dan rakannya  Muhammad Nooraizuddin Mohammed Yusoff, 28  dituduh melakukan tiga kesalahan di bawah Seksyen 17(b) ASPRM 2009 dan satu kesalahan di bawah Seksyen 16(b)(B) ASPRM 2009.

Tiga pertuduhan yang dikenakan membabitkan kesalahan menawar suapan RM 168,000 kepada anggota penguatkuasa APMM.

Pertuduhan pertama,  kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama telah secara rasuah menawarkan suapan sebanyak RM 8,000 Wan Burhanuddin Jusoh pada 14 Ogos 2013 di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Pertuduhan kedua dilakukan pada 20 Ogos 2013 apabila tertuduh menawarkan suapan wang tunai RM 10,000 kepada individu yang sama.

Kedua suapan tersebut ditawarkan sebagai dorongan untuk melindungi bot nelayan Vietnam yang masuk ke perairan Kelantan bagi menjalankan kegiatan menangkap ikan.

Bagi pertuduhan ketiga, kedua tertuduh didakwa menawarkan wang tunai RM 150,000 kepada Wan Burhanuddin pada 15 September 2013 sebagai dorongan untuk melepaskan bot KNF 7884 yang ditahan APMM Tok Bali, Kelantan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985.

Manakala bagi pertuduhan keempat kedua tertuduh didakwa  dibawah Seksyen 16(b)(A) ASPRM 2009  apabila dengan niat bersama telah memberikan suapan RM30,000 kepada Izman Alies sebagai deposit daripada jumlah RM 150,000 yang ditawarkan bagi tujuan melepaskan bot yang ditahan APMM.

Peguambela kedua tertuduh, Alfred Egin dalam rayuannya memohon supaya jumlah jaminan terhadap anak guamnya sebanyak RM 10,000 seorang.

Menurutnya tertuduh pertama, Law Chark Huat hanya seorang pengusaha bot yang berpendapatan RM 5,000 sebulan. Manakala Muhamad Nooraizudin pula tidak bekerja dan mempunyai lima orang anak.

Hakim Mahkamah Sesyen  Khas Rasuah, Rosbiahanin Ariffin menetapkan jumlah jaminan RM 500,000 dengan seorang penjamin bagi tiga kesalahan yang dituduh di bawah Seksyen 17(b) ASPRM 2009.

Manakala bagi pertuduhan di bawah Seksyen 16(b)(A) ASPRM 2009 tertuduh dikenakan wang jaminan RM 100,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula ditetapkan pada 8 November ini bagi kesemua petuduhan.

Pendakwaan SPRM diwakili oleh Pegawai Pendakwa Mohd Nur Lokman Samingan.

Sumber:sprm

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...