Kaji balik hubungan Pakatan Rakyat kerja kurang bijak, kata Mat Sabu
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan tindakan untuk mengkaji balik hubungan dengan parti dalam Pakatan Rakyat sebagai satu tindakan 'kurang bijak'.
"Bagi saya bercerai dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat sekarang satu perkara yang tidak baik. Istana yang kita bina sejak sekian lama, tiba-tiba kita nak runtuhkan begitu saja. Ini tindakan paling kurang bijak," katanya.
Mohamad berkata demikian dalam wawancara khas dengan The Malaysian Insider baru-baru ini.
Beliau mengulas cadangan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib yang mencadangkan PAS mengkaji semula tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan parti dalam Pakatan khasnya dengan PKR.
Cadangan Haron itu kemudiannya dijadikan resolusi dalam Multaqa Ulama Se-Malaysia yang diadakan di Alor Setar baru-baru ini.
Mohamad berkata, PAS sudah bekerja sejak sekian lama untuk mendapatkan undi orang bukan Islam khasnya Cina dan India di negara ini.
Ini kerana, katanya, PAS memerlukan undi mereka bagi membolehkan PAS menang dalam pilihan raya kerana ia berdasarkan undi popular.
"Kita sakit kepala setiap kali pilihan raya untuk menang kerana ia berdasarkan undi popular atau undi orang ramai.
"Jadi, kita akan tolak kawasan pilihan raya yang mempunyai peratusan orang bukan Melayu lebih 20 peratus kerana tahu tidak akan menang," katanya bercerita mengenai bagaimana PAS berjuang untuk mendapatkan undi mereka sebelum ini.
Katanya, sejak 2008, suasana itu sudah berubah iaitu orang Cina dan India sudah tidak takut menyokong PAS hasil kerjasama PAS dengan parti dalam Pakatan Rakyat dan pendekatan lain yang dibuat oleh PAS.
Baca lagi DISINI