KUALA LUMPUR - Pasukan peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim
hari ini memfailkan usul di Mahkamah Rayuan di Putrajaya untuk melucutkan
kelayakan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah daripada bertindak sebagai
pendakwa raya dalam rayuan kes liwat membabitkan ketua pembangkang itu.
Seorang daripada peguam yang mewakili Anwar, Ram Karpal Singh, semasa
dihubungi hari ini mengesahkan perkara itu dengan menyatakan usul itu difailkan
pada 4 petang di Mahkamah Rayuan.
Beliau berkata, permohonan itu akan didengar pada hari pertama
pendengaran rayuan itu pada 17 September.
Muhammad Shafee diberikan kuasa oleh Peguam Negara untuk mengetuai
pasukan pendakwa dalam rayuan terhadap pembebasan Anwar daripada pertuduhan
meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di unit Kondominium
Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26
Jun 2008.
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar, 64, daripada pertuduhan itu pada 9 Januari tahun lepas. - Bernama
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar, 64, daripada pertuduhan itu pada 9 Januari tahun lepas. - Bernama