Translate

12/08/2013

KENAPA ??? JENAYAH KEKERASAN MENGGUNAKAN SENJATAPI BANYAK BERLAKU DI KELANTAN ??

Kerani maut bom meletup.

TUMPAT 11 Ogos - Seorang kerani maut dengan kedua-dua belah tangannya putus setelah mengambil satu bungkusan dipercayai mengandungi bahan letupan yang ditinggalkan di atas bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mentuanya di Taman Sri Periuk, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Mohd. Yusrizal Mat Zain, 32, yang bertugas sebagai kerani di Sekolah Kebangsaan Kuala Krai meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, kejadian berlaku ketika mangsa cuba mengambil bungkusan yang diletak di atas kereta Naza Citra milik abang iparnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Motif kejadian dan jenis bahan letupan masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Yong Heng berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Difahamkan, Mohd. Yusrizal yang berasal dari Kampung Kenor, Kuala Krai dekat sini, tiba di rumah mentuanya itu malam semalam bagi meraikan Aidilfitri bersama ahli keluarga dan abang iparnya merupakan seorang anggota polis di Kedah.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan berusia empat bulan.

Sementara itu, abang ipar mangsa yang enggan dikenali berkata, bungkusan berwarna hitam berkenaan disedari isteri mangsa ketika membuka pintu rumah yang kemudian memaklumkan kepada suaminya itu.

Beliau berkata, mangsa kemudian keluar mengambil bungkusan tersebut sebelum mereka terdengar bunyi letupan.

Dalam pada itu, seorang jiran, Kamaruddin Che Mat, 56, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di luar rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dari arah rumah mentua mangsa.

"Saya dengar letupan amat kuat sehingga rasa bergegar, kemudian terdengar jeritan meminta tolong, saya pergi ke arah jeritan meminta tolong itu dan nampak isteri mangsa berada dekat mangsa," katanya.

Dalam pada itu, penduduk di Taman Sri Periuk digemparkan dengan satu letupan susulan dipercayai serpihan bahan letupan terbabit kira-kira pukul 4.40 petang ini.

Letupan itu berlaku setelah unit pemusnah bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan tiba di tempat kejadian dan memberi amaran kepada orang ramai menjauhi kawasan berkenaan pada jarak kira-kira 100 meter.

Selain unit pemusnah bom, anjing pengesan turut berada di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...