Pelacur warga asing mula bersarang di Dungun
DUNGUN - Jabatan Imigresen Negeri Terengganu berjaya membongkar kegiatan tidak bermoral membabitkan enam wanita warga asing di sebuah premis yang beroperasi sebagai kelab malam di bandar Paka, awal hari ini.
Pengarahnya, Azhar Abdul Hamid berkata menerusi operasi yang bermula 12.30 tengah malam sehingga pukul 3 pagi tadi, pihaknya menemui wanita terbabit bersembunyi di sebuah rumah kongsi yang bersebelahan premis berkenaan.
"Ketika ditemui, wanita warga Thailand yang berusia antara 18 dan 30 tahun itu yang lengkap berpakaian dan berdandan rapi, berpura-pura tidur," katanya kepada Bernama di sini.
Menurutnya, pihak imigresen pada awalnya terpaksa memecah masuk ke premis yang dijadikan kelab malam itu kerana pemilik enggan bekerjasama.
"Siasatan awal mendapati premis ini beroperasi sejak awal tahun ini.
Pelanggan yang datang memilih wanita yang dikehendaki sama ada untuk menemani mereka minum minuman keras atau menjadi teman tidur," katanya. - Bernama