Jumaat, 14 Jun 2013

Kematian kakitangan UMT akibat virus kencing tikus

KUALA TERENGGANU 14 Jun - Kematian seorang kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 8 Jun lepas setelah menyertai aktiviti di Pulau Bidong di sini, disahkan akibat jangkitan virus kencing tikus (Leptospirosis).

Perkara itu disahkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu hari ini setelah hasil ujian lanjut yang dijalankan di Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia mendapati keputusan darah Ahmadi Abdul Ghawi, 47, positif virus itu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, sehubungan itu jabatan telah menjalankan ujian terhadap anggota keluarga lelaki itu dan mereka yang berhubungan dengannya.

"Ujian dibuat ke atas 63 orang termasuk mereka yang telah bersama menyertai aktiviti di Pulau Bidong dan hasilnya mendapati mereka tidak dijangkiti penyakit itu dan berada dalam keadaan sihat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata, berikutan pengesahan itu, jabatan mengambil langkah menutup sementara Pusat Penyelidikan UMT di Pulau Bidong untuk pembersihan dan semua aktiviti hendaklah diberhentikan sehingga keputusan sampel persekitaraan yang diambil diketahui.

Dr. Anwa berkata, jabatan turut menasihatkan nelayan yang singgah di Pulau Bidong agar tidak menggunakan kemudahan yang ada di pulau itu.

Jabatan juga telah mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan awal virus itu di Pulau Bidong termasuk melakukan penilaian risiko persekitaran yang meliputi tempat penyediaan makanan, stor makanan, pengurusan sisa makanan dan sampah yang boleh mengundang kehadiran tikus.

"Di samping itu, penilaian juga dibuat atas kemudahan sanitasi yang disediakan seperti tandas dan bilik mandi serta pengurusan air di permukaan dan sisa air limbah.
"Sebanyak 16 sampel persekitaran iaitu 11 sampel sumber air dan lima sampel tanah telah diambil dan keputusan persampelan dijangka diperoleh selepas dua minggu lagi," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang pekerjaan mereka terdedah kepada air atau tanah yang tercemar agar memakai pakaian perlindungan kalis air seperti but getah dan sarung tangan, menutup luka-luka kulit dengan balutan kalis air, mencuci dengan air bersih selepas pendedahan dan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mengalami gejala.

Orang ramai juga dinasihat menjaga rumah dan premis mereka agar bebas daripada tikus dan pembawa-pembawa kuman yang lain, manakala bagi mereka yang mempunyai haiwan peliharaan, vaksin leptospirosis boleh diberikan, katanya. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...