KANGAR: Rakyat dinasihatkan supaya tidak menyerahkan masa depan negara kepada parti politik yang belum berdaftar.
Merujuk kepada Pakatan Rakyat (PKR-PAS-DAP) yang bertanding atas simbol masing-masing, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata gabungan itu mempunyai ideologi yang berlainan namun hanya disatukan atas nama yang belum berdaftar.
Justeru katanya rakyat berhak untuk mempersoalkan sama ada pakatan pembangkang mendokong manifesto yang sama atau sebaliknya selain ketetapan yang masih belum dicapai bersabit calon perdana menteri Pakatan Rakyat sekiranya berjaya membentuk kerajaan.
"Sebab itu kita boleh mempersoalkan mereka, sama ada mereka mendokong manifesto itu atau tidak. Kita boleh tanya siapa perdana menteri di kalangan mereka. PAS pun masih samar-samar, adakah sokong Anwar? Sebab di kalangan meraka pun ada yang berminat mahu jadi perdana menteri," kata Najib.
Pakatan Rakyat yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008 menggantikan Barisan Rakyat dan Barisan Alternatif sebelum ini telah mengemukakan permohonan pendaftaran kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2010.
Namun usaha tersebut mendapat bantahan ROS yang mengkehendaki gabungan itu didaftar sebagai ‘Pakatan Rakyat Malaysia’.
Isnin lalu, pembangkang membentangkan manifesto pilihan raya berhasrat untuk merombak sebahagian besar dasar pengurusan kewangan negara dan mengumumkan kos program ekonomi berjumlah RM45.75 bilion.
Pembangkang turut mensasarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 7 peratus setiap tahun, maka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat sebanyak RM20 bilion setahun selain pertambahan tambahan RM4 bilion setiap tahun melalui kutipan cukai tambahan pada nisbah purata 20 peratus.
Najib dalam pada itu turut menyifatkan ideologi yang diperjuangkan setiap parti komponen pembangkang bakal mengelirukan rakyat justeru akan mencetuskan masalah kepada negara.
"Ada yang mahu jadikan Malaysia negara sekular, negara Islam, ada yang bercita-cita mahu jadi perdana menteri sahaja, ada dasar yang tak sesuai dengan kita seperti menyokong pluralisme.
"Kita tidak boleh terima pihak yang tidak mempertahankan kesucian agama Islam kita," tambah beliau lagi.
Sehubungan dengan itu beliau berkata hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja yang berada di landasan betul sejak dari awal penubuhannya.
Justeru beliau menggesa rakyat di negeri Perlis dan seluruh negara untuk memberi mandat seterusnya kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.