Ahad, 2 Disember 2012

Budaya hedonisme di kalangan remaja Melayu

KUALA LUMPUR – Penularan budaya hedonisme yang menjadikan kesenangan dan kenikmatan sebagai tujuan hidup terutama di kalangan generasi muda hari ini sekiranya tidak ditangani boleh merapuhkan semangat jati diri dan pegangan agama, kata seorang penulis buku biografi.
Budaya ini, kata Datin Seri Fatini Yaacob, sekali gus membantutkan kesinambungan kepemimpinan negara berkualiti.
Beliau menyifatkan trend yang mementingkan keseronokan hidup sebagai membimbangkan kerana mereka yang mengamalkan budaya ini terlalu fleksibel terhadap semua perkara sehingga boleh melunturkan perasaan kasih kepada bangsa dan negara.
Fatini telahpun menghasilkan buku biografi beberapa tokoh negara termasuk Tun Daim Zainuddin (Daim Yang Diam) dan Naib Canselor Pertama Universiti Teknologi Malaysia, Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid (Ainuddin Pejuang ”Degil” Melayu) serta buku riwayat hidup Natrah (Natrah Cinta. Rusuhan. Air Mata).
Fatini berkata, apabila budaya hedonisme ini mula menjalar ke dalam masyarakat Melayu terutama golongan remaja melalui hiburan, sukan dan cara hidup, secara tidak langsung ia menghakis sifat malu dalam diri mereka.
"Masyarakat yang tidak malu ini membawa kepada gejala sosial yang serius, seperti melakukan maksiat di tempat awam. Ini secara tidak langsung akan menjatuhkan nilai sesebuah masyarakat,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau berkata, kesan globalisasi dunia tanpa sempadan menjadi punca kepada ”cedukan” budaya keterlaluan hedonisme sehingga ada yang menghalalkan cara hidup Barat yang sekali gus bertentangan dengan resam negara ini,” jelas beliau. – BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...