SEPANG: Prihatin dengan kedaifan masyarakat Islam di Kemboja dan Vietnam, Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Perikatan Intelek Muslim Kemboja (CMIA) menyembelih 413 lembu dan 37 kambing untuk diagih kepada golongan sasaran di dua negara itu.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, daripada jumlah itu 396 lembu dan 37 kambing disembelih untuk diagihkan kepada umat Islam sekitar Phnom Penh, manakala 17 lembu diagihkan kepada masyarakat Islam di Ho Chi Minh, Vietnam.
Menurutnya, pihaknya juga akan menyampaikan sumbangan RM80,000 yang akan dimanfaatkan untuk pendidikan di Kampung Chenang, Kemboja.
“Sumbangan itu membabitkan RM70,000 bagi membina sekolah Islam, manakala RM10,000 lagi digunakan untuk membina maahad tahfiz di kampung berkenaan.
“Kita berharap sumbangan itu dapat membantu anak di kampung itu mendalami ilmu agama dalam keadaan lebih selesa,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam. Seramai 118 sukarelawan turut serta dalam program itu yang dikenali sebagai Ekspedisi Kasih dan Korban ke Kemboja dan Vietnam.
Peserta berlepas ke Kemboja jam 3.15 petang dan dijangka pulang ke tanah air, Rabu ini.
Othman berkata, ini kali keempat program itu diadakan dan yakin ia dapat membantu masyarakat Islam di negara itu, terutama dalam aspek pendidikan.
“Dana disumbangkan akan dimanfaatkan untuk membaik pulih prasarana sekolah, di samping mewujudkan pelaksanaan wakaf iaitu dengan membeli tanah yang akan memberi hasil kepada masyarakat Islam di sana.
“Program kita lebih memfokuskan aspek pendidikan kerana sedia maklum pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menjalankan program sukarelawan di negara itu, tetapi tertumpu terhadap ekonomi dan kebajikan.
“Sepanjang melaksanakan program ini, kita sudah membina dua sekolah di Phnom Penh yang kini mempunyai 300 pelajar. Justeru, sumbangan diberi dapat membantu proses pembelajaran umat Islam di negara itu,” katanya.