KUALA
LUMPUR, 16 Sept — Amran (bukan nama sebenar), berusia 25 tahun, tinggal di
perumahan rumah pangsa di Vista Angkasa, Kuala Lumpur, baru melangsungkan
perkahwinan dengan isterinya kira-kira setahun lalu.
Tetapi,
hantaran perkahwinan yang terlalu tinggi menyebabkan beliau kini berhutang
hampir RM25,000 dan diburu oleh “Ah Long”.
“Saya
tidak ada banyak pilihan,” jelas Amran yang merupakan seorang penyelia kilang
di Petaling Jaya dan hanya memperoleh gaji RM1,500 sebulan.
“Tiap-tiap
bulan saya terpaksa menghabiskan lebih dari separuh gaji saya hanya untuk
membayar hutang.
“Puncanya,
keluarga sebelah isteri saya meletakkan hantaran sebanyak RM12,000 kerana
isteri saya seorang graduan diploma di universiti tempatan, dan termasuk
belanja kahwin dan kenduri, semuanya berjumlah RM25,000.
“Jadi,
dengan pendapatan saya yang berjumlah RM1,500, tolak bayaran sewa rumah dan
ansuran kereta lagi, saya tidak mampu untuk menanggung hutang sebegini.”
Dalam
adat perkahwinan Melayu-Islam di Malaysia, terdapat dua jenis hantaran, iaitu
mas kahwin dan hantaran perkahwinan.
Bayaran
mas kahwin ini diwajibkan dalam agama Islam, manakala hantaran perkahwinan pula
bersifat adat resam dan tidak ada kewajiban untuk membayarnya.
“Hantaran
perkahwinan inilah yang membebankan orang ramai dari perkahwinan,” menurut Azri
Mukhris, 27 tahun, seorang yang bakal melangsungkan perkahwinan pada hujung
tahun ini.
Kata
Azri, beliau dan pasangannya terpaksa mengikat perut sejak tahun lalu bagi
memastikan mereka dapat berkahwin sebelum hujung tahun ini.
Ini
kerana tekanan masyarakat itu sendiri menyebabkan ahli keluarga terpaksa
meletakkan harga sedemikian.
“Semasa
upacara merisik, kami membincangkan tentang harga hantaran, memandangkan
pasangan saya merupakan seorang graduan ijazah sains, maka harganya lebih
tinggi.
“Jadi
sebab itu, mahu tidak mahu, saya perlu menyimpan agar dapat menyempurnakan
majlis perkahwinan yang akan berlangsung pada hujung tahun ini.”
Bila
ditanya berapa harga hantaran perkahwinan, Azri enggan memberi jumlah
keseluruhannya.
“Apabila
berkahwin ni, banyak komitmen yang perlu diberikan, antaranya perlu membayar
hutang membeli rumah, membeli kereta, kemudian pinjaman peribadi untuk
melangsungkan perkahwinan, dan beberapa tahun lagi apabila sudah mempunyai
anak, kena membeli persiapan untuk kelahiran anak pula.
“Itu
belum lagi bila anak itu sudah membesar dan sudah mula bersekolah,” kata Azri
lagi.
Masalah
kewangan dan kos sara hidup yang tinggi dikenal pasti sebagai punca utama kes
perceraian pasangan muda di ibu kota.
Ketua
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali,
berkata kebanyakan pasangan muda yang berusia 30 tahun ke bawah bercerai kerana
kurang persediaan dalam memikul tanggungjawab berumah tangga terutama
membabitkan soal kewangan.
Biasanya
pasangan terbabit adalah mereka yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memulakan
hidup baru.
Mereka
khususnya suami tidak bersedia dalam aspek kewangan, lebih-lebih lagi sara
hidup yang tinggi di ibu kota berbanding pendapatan yang mereka peroleh.
Menurut
kenyataannya kepada Berita Harian hari ini, bilangan kes perceraian di ibu kota
yang direkodkan JAWI turun secara mendadak apabila sehingga Julai tahun ini
hanya membabitkan 64 kes berbanding 1,828 kes sepanjang tahun lalu.
Beliau
berkata, pasangan yang berkahwin di ibu kota setiap tahun dianggarkan 20,000
orang dengan kira-kira 10,000 orang adalah golongan muda.
Tujuh
tahun pertama usia perkahwinan adalah tempoh paling kritikal kerana hampir 28
peratus perceraian berlaku dalam jangka waktu berkenaan.
“Kebanyakan
kes perceraian dalam tempoh itu pula membabitkan pasangan muda berumur bawah 30
tahun ke bawah,” katanya.
Statistik
dalam laman web Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat mencatatkan penceraian pada tahun
2011 telah menurun iaitu 27,355 kes berbanding tahun 2010 iaitu 28,035 kes.
Bagaimanapun,
menurut timbalan menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim,
kadar itu masih membimbangkan biarpun penurunan sebanyak 2.5 peratus.
Dr
Mashitah berkata, Selangor mencatatkan jumlah perceraian paling tinggi iaitu
sebanyak (4,409 kes), diikuti Johor (3,021 kes) dan Kelantan (2,429 kes).
Hadzrien
(bukan nama sebenar), 26 tahun, bercerai dengan isterinya yang tiga tahun lebih
muda berkata, masalah kewangan adalah punca perceraian dia dan isterinya.
“Saya
telah berkahwin dengan bekas isteri saya setahun yang lalu, tetapi oleh kerana
belanja perkahwinan yang tinggi, disamping masalah kewangan serta pinjaman bank
terlalu tinggi menyebabkan saya terpaksa bercerai dengannya.
“Saya
telah cuba berjimat cermat, tetapi tuntutan kehidupan di kota yang mahu
perbelanjaan yang tinggi menyebabkan saya tidak mampu untuk menanggung isteri
saya lagi, lalu kami membuat keputusan untuk bercerai,” kata Hadzrien lagi.