KUALA LUMPUR, 28
OGOS 2012: Dalam
kesibukan menyambut Aidilfitri, kedengaran satu cerita panas yakni pendedahan
Persatuan Seniman Malaysia melalui presidennya, Zed Zaidi tentang seorang artis
luar yang bekerja dan menjalani penggambaran di sini namun tidak mengikuti
prosedur yang ditetapkan FINAS.
Ketika dihubungi, Zed
Zaidi mempertikaikan bagaimana hal seperti ini boleh berlaku sedangkan sudah
jelas ada garis panduan dan perkara yang perlu dipatuhi namun bagaimana hal
seperti ini tidak diberi perhatian kerana ia telah melanggar undang-undang.
"Saya sudah
menjalankan tugas sebagai presiden di mana saya harus suarakan perkara ini.
Saya tidak ada masalah jika ada artis dari luar mahu berlakon atau mencari rezeki
di sini tapi mereka haruslah mengikut saluran yang betul.
"Isu ini bukan isu
biasa atau peribadi tetapi garis panduannya telah pun ditetapkan FINAS melalui
Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dan saya apa yang saya persoalkan adalah
bagaimana perkara yang melibat undang-undang seperti ini boleh terlepas pandang
begitu sahaja.
"Surat Sokongan
Kemasukan Pekerja Filem Asing (PFA) dan dokumen kelulusan daripada Jabatan
Imigresen diperlukan bagi memperakukan perkara ini. Jika benar pihak produksi
ada berbuat demikian, sila kemukakan.
Zed juga menjelaskan dia
telah bertemu dengan beberapa pihak berkenaan seperti PUSPAL dan Jabatan
Imigresen bagi memperbincangkan isu ini. Selepas jelas mengenai hal ini barulah
dia tampil bagi memperbetulkan keadaan kerana bagi Zed, hal seperti ini seperti
menindas anak seni tempatan.
"Mungkin ramai ingat
saya sekadar mahu bersuara, tetapi mereka tidak tahu apa yang saya cakap semua
ada asasnya. Ada artis yang menghubungi saya dan berkata mereka setuju dengan
apa yang saya katakan. Namun, mereka tidak boleh bersuara kerana bimbang akan
dikecam oleh peminat artis-artis luar ini.
"Saya mahu umum tahu,
anak seni tempatan jika mahu ke luar negara kena melalui pelbagai prosedur yang
jauh lebih susah. Saya sendiri pernah ditahan di Imigresen di sebuah negara dan
meminta saya menunjukkan semua dokumen bagi membolehkan saya memasuki negara
itu untuk menjalani penggambaran.
"Tetapi lain pula
dengan Malaysia. Jadi selain menjelaskan perkara ini, saya juga berharap pihak
berkenaan lebih telus dan meneliti sebarang permohonan untuk mengelakkan
perkara seperti ini berlaku lagi,"tambahnya lagi.
Presiden Persatuan Seniman
Malaysia ini mengingatkan pihak produksi supaya menjalani prosedur yang telah
ditetapkan atau Seniman dan pihak berkaitan seperti Jabatan Imigresen, PUSPAL
dan lain-lain akan mengambil tindakan ke atas mereka.
"Kalau saya dapat
maklumat tentang salah laku seperti ini, saya dan pihak berkuasa tidak
teragak-agak untuk menyerbu lokasi atau tempat penggambaran. Kerana bagi saya
hal ini jika tidak dibendung akan membuatkan pihak produksi sewenang-wenangnya
membawa artis luar tetapi kita sendiri bukan kata nak keluar, tempat sendiri
pun susah nak cari rezeki.
"Saya tidak mahu
minda kita terus dijajah, mengagungkan orang luar kerana mereka sendiri
mengagungkan bangsa dan orang mereka sendiri kenapa tidak kita tidak boleh
berbuat demikian. Ini semua akan memberi kesan pada jangkamasa yang panjang.
"Kalau tidak dibuat
sekarang kita akan kehilangan identiti bangsa kita sendiri, dan perkara itu
sudah berlaku pada industri muzik sampai ada yang keliru malah tidak tahu lagu
yang mereka dengar itu lagu artis tempatan atau luar.
"Suara saya ini telah
mendapat perhatian pelbagai pihak dan saya mahu umum jelas peranan saya bukan
untuk menindas atau menjatuhkan sesiapa tetapi saya bercakap berdasarkan asas
dan pandangan daripada umum dan tidak bersifat peribadi, apatah lagi perkara
ini melibatkan undang-undang,"jelas Zed panjang lebar.