Translate

18/08/2012

Tentera Akan Pertahan Institusi diRaja Daripada DiGanggu Gugat

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjadi benteng terakhir yang akan mempertahankan kedaulatan institusi raja-raja Melayu di negara ini daripada terus dicabar dan digugat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, angkatan tentera yang ditubuhkan melalui kuasa raja-raja berikrar untuk terus melindungi institusi itu daripada sebarang ancaman yang menggugat kedaulatannya.
“Kita akan bersama-sama dengan institusi raja jika ada individu, organisasi apatah lagi parti-parti politik yang cuba mencabar kuasanya di negara ini.
“Jika ada pihak yang cuba mengguris hati raja-raja Melayu, angkatan tentera akan bangun mempertahankannya,” katanya ketika berucap pada Persidangan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) dan Syarahan Umum Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, hari ini.
Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan merasmikan majlis itu dan melancarkan lapan buku yang ditulis oleh tenaga akademik UPNM.
Hadir sama, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Nor.
Ahmad Zahid berkata, tanggungjawab ATM bukan sahaja untuk memastikan institusi raja dipertahankan bahkan untuk terus menyedarkan sesetengah pihak yang mahu menggugat institusi berkenaan.
“Mutakhir ini ada sahaja individu, organisasi dan parti politik yang mahu mencemar dan mempertikai kedaulatan raja-raja Melayu. Malah, ada pihak yang sudah berani mencabar kuasa raja-raja Melayu termasuk di dalam pembentukan kerajaan negeri,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, dalam situasi yang masih terkawal sekarang, pihak tentera tidak akan mengambil tindakan secara membuta-tuli demi menghormati undang-undang awam.
Katanya, ATM sebagai institusi pertahanan yang profesional tidak akan menyalahgunakan kuasa dan mandat yang diberi untuk melakukan campur tangan atau merombak perundangan di mana-mana negeri.
“Tentera kita profesional, jauh sekali mahu lakukan sebagaimana yang pernah berlaku di beberapa buah negara yang institusi raja runtuh kerana rampasan kuasa,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...