Translate

30/07/2012

SSM, LHDN didesak siasat Suaram

KUALA LUMPUR 28 Julai - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) didesak menyiasat dan menjelaskan status sebenar Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang didaftarkan sebagai sebuah syarikat swasta dan bukannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat, Ng Lum Yong berkata, desakan itu dibuat selepas Pengarah Suaram, Kua Kia Soong dan bekas pemimpinnya, R. Sivarasa terus berdiam diri meskipun dicabar oleh pelbagai pihak.

"SSM dan LHDN perlu bekerjasama menjelaskan kedudukan Suaram kerana ia telah menyalahgunakan namanya sebagai NGO selama 25 tahun dan masih terus mengutip derma daripada orang ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, semakan dokumen awam SSM mendapati, Suaram adalah sebuah syarikat didaftarkan atas nama Suara Inisiatif Sdn. Bhd. dengan nombor pendaftaran 562530-P

Malah, tambah beliau, pemeriksaan yang dilakukan turut mendapati Suaram tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai NGO.

"Bagaimanapun, melalui laman sesawang Suaram yang boleh diakses di seluruh dunia, Suaram mendakwa ia adalah sebuah NGO.

"SSM dan LHDN juga tidak boleh berdiam diri dalam isu ini kerana rakyat Malaysia berhak mengetahui identiti sebenar Suaram

"Lebih-lebih lagi ia telah menyalahgunakan kuasa dengan terus mendapatkan derma orang ramai kononnya untuk tujuan hak asasi manusia," katanya.

Lum Yong berkata, seandainya siasatan SSM dan LHDN menunjukkan Suaram adalah sebuah syarikat swasta, beliau mencabar perkara itu didedahkan secara rasmi.

"Kenyataan rasmi itu bukan setakat kepada rakyat Malaysia tetapi kepada semua kedutaan di dunia supaya mereka tahu identiti Suaram yang selama ini berselidung atas nama hak asasi manusia.

"Apa yang lebih penting, rakyat Malaysia dan dunia perlu tahu Suaram adalah satu pertubuhan antikerajaan," tambah beliau.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...