BANDAR BARU BANGI, 8 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak mengenengahkan tiga perkara yang dirujuk beliau sebagai "3K
Berkembar" yang dijanjikan kerajaan buat rakyat iaitu keamanan dan keselamatan;
kestabilan dan keharmonian; serta kemakmuran dan kemajuan.
Beliau berkata
dari aspek keamanan dan keselamatan, andainya ketinggian perlembagaan dan
keluhuran undang-undang tidak dihormati, tiada apa yang boleh menjadi kenyataan
dalam negara.
Beliau memberi contoh demonstrasi jalanan yang diadakan di
tengah ibu kota April lepas yang menurutnya tidak menguntungkan sesiapa, kecuali
membawa keadaan kucar-kacir dan huru-hara.
"Kita mesti hormati ketinggian
perlembagaan dan keluhuran undang-undang kerana ini tonggak kepada negara kita,"
katanya semasa berucap di program Janji Ditepati di Teras Jernang di sini
Ahad.
Dalam aspek kestabilan dan keharmonian pula, Najib berkata keadilan
sosial dan keharmonian negara yang ditampilkan kerajaan Barisan Nasional (BN)
menerusi pelbagai inisiatif, termasuk gagasan 1Malaysia yang ditampilkannya,
manyaksikan keadaan yang lebih stabil dan kukuh, semuanya disebabkan oleh
kesepakatan dalam BN.
Beliau berkata ia berbeza dengan pakatan parti
pembangkang yang nampak sepakat pada luarannya sahaja, namun hakikatnya ia
sedang berhadapan dengan banyak masalah dalaman.
"Di Selangor kita dengar
ada dua kem besar sudah bergaduh, tapi cuba ditutup, (selain itu) banyak isu-isu
berkaitan moral pemimpin (pembangkang) yang tidak dapat dijawab mereka,"
katanya.
Perdana Menteri turut mengkritik kerajaan PAS di Kelantan yang
dilihatnya tidak mempunyai kemampuan mentadbir dan hilang punca apabila parti
itu pada mulanya memperjuang konsep negara Islam, kemudian bertukar kepada
negara kebajikan, dan kini menimbulkan soal hukum hudud pula, semasa negeri
Kelantan berhadapan pelbagai masalah.
"Segalanya nak dihijaukan. Rumah,
masjid, pagar, semua nak dihijaukan. Janganlah hanya nak bawa perubahan dari
segi warna sahaja, mesti ada agenda untuk sejahterakan rakyat, ini bezanya
dengan BN," katanya.
Menurut Najib, Kembar K ketiga yang merujuk kepada
kemakmuran dan kemajuan pula menyaksikan banyak kemakmuran dan kemajuan yang
diusahakan kerajaan mencapai kejayaan besar, semuanya untuk
rakyat.
Menurutnya semasa pasaran modal di dunia ketika ini berada dalam
keadaan 'gersang', keadaan pasaran modal dalam negara sebaliknya begitu segar
dan dinamik, semuanya disebabkan perancangan rapi kerajaan untuk membangunkan
negara.
Najib berkata semua yang diketengahkannya bukan sahaja merujuk
kepada kejayaan kerajaan menepati segala yang dijanjikan, malah turut menjamin
masa depan yang lebih baik lagi.
Beliau memberi contoh pendidikan percuma
yang disediakan kerajaan, Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia,
baucar buku, tayar percuma untuk pemandu teksi, dan banyak lagi.
"Kalau
saya nak sebut satu persatu jasa BN, mungkin sampai malam nanti saya masih di
sini. Mungkin dulu kita buat silap sikit semasa pilihan raya lalu, tapi kita
sudah pelajari daripada kesilapan itu dan kita akan buat yang terbaik untuk masa
depan," katanya.
Beliau seterusnya mendedahkan bahawa banyak lagi yang
sedang dirancang tidak lama lagi, antaranya Kedai Buku 1Malaysia, yang akan
menawarkan buku dan alat tulis pada harga yang lebih rendah, dan juga Kedai Kain
1Malaysia.
"Kita (juga) akan buat kedai kain 1Malaysia. Kain pun boleh
beri murah lagi untuk suri rumah. Boleh beli lebih murah daripada biasa,"
katanya.
"Ini baru dua, banyak lagi akan dibuat. Berilah peluang kerana
kita telah buktikan bahawa kita boleh tentukan keamanan dan keselamatan, boleh
jamin kestabilan dan keharmonian, dan menjanjikan kemakmuran serta kemajuan,"
tambahnya.
Perdana Menteri kemudiannya melawat sekitar khemah pelbagai
jabatan serta agensi kerajaan, dan juga swasta yang mengambil bahagian dalam
program Janji Ditepati. -- BERNAMA