Khamis, 26 Julai 2012

Keengganan pulang 8 penuntut perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan

8 penuntut enggan pulang walaupun sudah dipujuk

SEPANG 25 Julai - Kerajaan tidak akan bertanggungjawab sekiranya sebarang kejadian tidak diingini menimpa kumpulan lapan penuntut Malaysia di Syria yang enggan pulang ke tanah air.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem berkata, biarpun dipujuk berulang kali namun lapan penuntut itu masih enggan pulang ke tanah air tanpa sebarang alasan kukuh.

Katanya, Wisma Putra tidak mempunyai kuasa untuk mendesak penuntut-penuntut itu pulang biar pun bimbang keselamatan mereka terjejas berikutan pergolakan di Syria.

"Kita tidak tahu kenapa mereka tidak mahu pulang walaupun pihak kedutaan Malaysia di Syria sudah pujuk. Apa yang ditakuti apabila perang saudara mula meletus tiada sesiapa yang boleh memberi jaminan terhadap keselamatan mereka.

"Dalam masa sama apabila perang meletus sudah pasti semua kuliah di kolej mahu pun universiti akan ditutup sehingga keadaan mula stabil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan penerbangan pertama yang membawa seramai tujuh penuntut Malaysia di Syria dengan menggunakan pesawat komersial di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Proses membawa pulang penuntut Malaysia di sana bermula selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan supaya tindakan seumpama itu diambil ekoran konflik berpanjangan antara tentera Syria dan puak pemberontak.

Menurut Richard, hingga hari ini masih terdapat seramai 135 rakyat Malaysia di sana dan 123 daripadanya adalah penuntut manakala selebihnya pekerja di sebuah syarikat dan di Kedutaan Malaysia.

"Baki penuntut Malaysia itu akan dibawa pulang menggunakan tiga pesawat komersial esok dan dijangka tiba ke tanah air pada pukul 2.10 petang, 2.50 petang dan 8.40 malam.

''Kedutaan Malaysia ditutup sementara untuk menguruskan penuntut di sana.
''Seramai tujuh pekerja syarikat di sana pula akan pulang dalam waktu terdekat dengan dibiayai sepenuhnya oleh majikan mereka," katanya.

Dalam pada itu, ditanya kenapa penuntut Malaysia tidak pulang secara sekali gus, katanya, ia berikutan masalah visa yang perlu diuruskan terlebih dahulu.

Sementara itu, beliau turut melahirkan penghargaan terhadap semua pihak terutamanya Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Syria yang banyak membantu hingga proses itu berlangsung dengan cepat dan selamat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...