KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu mengumumkan
bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran
minimum RM500 kepada penjawat awam.
Perdana Menteri yang juga Menteri
Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas
Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Bayaran itu akan dibuat
pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.
Pemberian bonus dan
bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan
dan 657,000 pesara kerajaan.
Najib berkata pemberian bonus dan bayaran
khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan
kerajaan.
Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran
perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.
Najib berkata pemberian bonus dan
bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan
pesara kerajaan.
"Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan
kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya.
Beliau
berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari
Raya Aidilfitri.
Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu
bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program
pembangunan negara.