Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) menuntut penganjur perhimpunan BERSIH 3.0 supaya membayar lebih
RM351,000 yang kerosakan harta awam dan kos yang ditanggungnya ekoran
perhimpunan 28 April.
Jumlah paling besar dalam
tuntutan tersebut ialah bayaran untuk elaun lebih masa kakitangan jabatan
penguatkuasanya yang bertugas – sebanyak RM174,240.
Selain itu, DBKL juga menuntut
RM50,000 untuk kos makan minum dan pengangkutan kakitangan jabatan penguatkuasa
tersebut, selain RM26,000 untuk kos pengangkutan kakitangan jabatan
kejuruteraannya.
Selain tuntutan berjumlah
RM351,203.45 itu, DBKL dalam surat tuntutan bertarikh 18 Jun itu juga menuntut
supaya BERSIH membayar kos tuntutan RM100, dalam tempoh 14 hari.
Salleh berkata, BERSIH
dihalang daripada membuat perhimpunan tersebut oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur
dan PDRM melalui perintah mahkamah bertarikh 26 April.
"Datuk Bandar tidak
membenarkan Dataran Merdeka digunakan bagi perhimpunan BERSIH 3.0 kerana
aktiviti yang dicadangkan tidak bersesuaian dengan penggunaan Dataran Merdeka
yang merupakan suatu tempat bersejarah dan tumpuan pelancong.
"Tetapi pihak Datuk
dan puan terus menganjurkan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April yang menjadi
tidak terkawal dan mengakibatkan kacau bilau di Kuala Lumpur dan kerosakan
harta benda awam," kata Salleh dalam suratnya.
Dalam tuntutan tersebut,
Salleh berkata kos kerosakan itu dari RM5,900 – untuk papan tanda dan
pengadang, sehinggalah RM57,850 untuk kerosakan lanskap DBKL.
Dalam satu kenyataan
segera, Ambiga dan Maria menyifatkan tuntutan tersebut sebagai satu gangguan
yang menjadikan mereka sebagai sasaran.