Malaysia Lakar Sejarah Dengan Rangkul Piala Remaja Asia
MELAKA, 13 Mei (Bernama) -- Malaysia melakar sejarah apabila muncul
juara Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia 2012 buat julung kali selepas mengalahkan
Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit Serindit di sini,
Ahad.
Malaysia mengakhiri penantian 20 tahun untuk merangkul kejuaraan
itu dengan jaringan minit kedua Faizal Saari dan jaringan padang oleh Mohd
Syamim Mohd Yusof pada minit ke-17.
Pakistan, juara tiga kali pada edisi
pertama 1987, 1992 dan 1996, menjaringkan gol tunggal pada separuh masa kedua
menerusi Muhammad Irfan pada minit ke-42.
Skuad bimbingan Dhamaraj
Abdullah itu memadam kekecewaan pada aksi final edisi 1992 di Ipoh, Perak,
apabila tewas 0-3 kepada Pakistan.
Perlawanan sengit dan penuh debaran
itu disaksikan oleh lebih 7,000 penonton termasuk Presiden Persekutuan Hoki Asia
(AHF), Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC)
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil
Yaakob.
Malaysia bermula agresif sebaik wisel perlawanan bermula dan
menerusi serangan pertama menghasilkan pukulan sudut penalti.
Selepas
menerima hantaran, Faizal melakukan tolakan deras ke penjuru kiri gol Pakistan
yang dikawal oleh Mazhar Abas untuk gol peribadi keenam sepanjang kejohanan
itu.
Hasil itu membolehkan Faizal berkongsi kedudukan sebagai penajring
terbanyak bersama pemain Korea Selatan, Seong Ju Lee.
Malaysia
memperkukuhkan kedudukan menerusi jaringan Mohd Syamim dan keadaan tidak berubah
sehingga waktu rehat masa pertama.
Bagaimanapun, Pakistan tidak berputus
asa dengan ketinggalan dua gol dan bangkit semula pada babak kedua dengan
melakukan asakan bertali arus ke pintu gol Malaysia yang dikawal oleh Mohamad
Hazrul Faiz Ahmad.
Malaysia memperkemaskan semula bentang pertahanan
selepas jaringan gol oleh Muhammad Irfan dan mempertahankan kedudukan sehingga
wisel penamat.
Dhamaraj berkata anak buahnya beraksi dengan cemerlang
pada separuh masa pertama tetapi leka pada babak kedua.
Terdahulu, pada
perlawanan penentuan tempat ketiga, juara bertahan India mengalahkan Korea
Selatan 2-1 dalam masa tambahan.