Translate

23/05/2012

Pelbagai pihak persoal keikhlasan Pas


KUALA LUMPUR 21 Mei - Pelbagai pihak mempersoalkan keikhlasan Pas untuk bermuzakarah dengan UMNO apabila meletakkan syarat untuk kedua-dua parti itu bersemuka demi perpaduan Melayu dan umat Islam di negara ini.

Pensyarah Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Prof Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, dalam hal itu, Pas dilihat tidak serius membincangkan matlamat itu melainkan meletakkan syarat supaya UMNO patuh dan tunduk kepada mereka.

Jelas beliau, Pas sebenarnya mahu mengalih pandangan masyarakat dengan membangkitkan semula isu muzakarah itu untuk menutup segala kelemahan mereka terhadap pelbagai isu yang berlaku ketika ini.

"Pas perlu letak tajuk perbincangan muzakarah itu bukannya syarat. Adakah ia bertujuan mencari kesalahan atau demi perpaduan Melayu Islam? Saya lihat syarat tidak boleh ditetapkan kepada UMNO. Apa yang penting keikhlasan dan matlamat untuk muzakarah itu.

"Kalau diletakkan syarat-syarat sebegini sampai bila muzakarah ini mahu berjaya. Kalau asyik bergaduh dan tidak ada titik persamaan, masyarakat akan lihat imej Melayu dan Islam tidak baik," katanya.

Beliau mengulas pandangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan sekarang adalah waktu paling sesuai bagi menjayakan muzakarah antara parti itu dengan UMNO.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu turut meletakkan syarat supaya UMNO menukar dasar kebangsaannya dan perlu menerima Pas serta pembangkang jika kedua-dua parti berkenaan mahu menjalin kerjasama demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam.

Bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Saludin pula berkata, syarat yang ditetapkan untuk muzakarah itu dilihat sebagai satu permainan Pas untuk melengah-lengahkan masa bagi menentang kembali serangan kepada UMNO setelah melihat sokongan rakyat sudah mula terhakis.

"Dalam hal ini, UMNO perlu berhati-hati dengan taktik Pas kerana kita tidak mahu UMNO pula dikatakan terhegeh-hegeh dengan mereka untuk berbincang.

"Biarpun UMNO bersikap terbuka dalam hal ini tetapi Pas akan menggunakan keterbukaan UMNO untuk mengambil kesempatan meraih sokongan semula sokongan orang Melayu," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, Pas sepatutnya tidak boleh meletakkan syarat jika benar mereka mahu melihat orang Melayu dan Islam bersatu.

Sumber:utusan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...