Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita kerana kejadian dua solat Jumaat dalam satu qariah tanpa kebenaran masih berlaku di beberapa daerah di negeri itu.
Baginda bertitah kejadian itu berlaku disebabkan tidak wujud persefahaman dalam mencari jalan penyelesaian sesuatu masalah yang dihadapi.
"Semua ini menyebabkan agama Islam tercemar, maruah bangsa Melayu Islam ternoda, umat Islam dihina dan dipermainkan.
"Keadaan ini amat menyedihkan Beta selaku ketua agama dan pemimpin umat Islam di negeri ini," titah baginda ketika merasmikan Masjid Sultan Ismail di Chendering di sini hari ini.
Turut berangkat Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua'az. Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Sultan Mizan menyeru umat Islam di negeri itu supaya bersama-sama mencari jalan ke arah kedamaian dan kemurnian hubungan antara dua pihak yang bertelagah supaya masyarakat dapat hidup dengan aman dan sejahtera.
Baginda turut menyeru umat Islam supaya sama-sama mengimarahkan masjid kerana tidak guna mendapat masjid yang cantik dan tersergam indah jika tidak digunakan dengan sebaiknya.
Sultan Mizan yang baru sahaja menamatkan tugas sebagai Yang DiPertuan Agong ke 13 dan dua anakanda baginda selepas itu bersama-sama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di situ.
Masjid Sultan Ismail yang dahulunya dikenali sebagai Masjid Raja di kalangan pendududuk tempatan, mula dibina dengan bangunan baru sejak tahun 2008 dengan peruntukan sebanyak RM7.5 juta dan mampu memuatkan 2,000 jemaah dalam sesuatu masa.
Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Salleh berkata terdapat 11 masjid di Marang, Setiu dan Besut dikesan masih melakukan dua solat Jumaat dalam satu kariah berbanding 23 buah sebelum ini.
Menurutnya walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, masalah itu masih tidak dapat diselesaikan.
"JHEAT pernah dihalang dengan jentera, malah ada orang baring bawah jengkaut apabila kita datang ke tempat mereka untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.
Rozali berkata JHEAT memandang serius perkara itu kerana ia bukan sahaja menimbulkan perpecahan dalam kalangan penduduk setempat tetapi juga meninggalkan imej negatif terhadap Islam.