KUALA TERENGGANU, 6 Dis – Parti Pas sebenarnya tidak ikhlas dalam memperkenalkan hukum hudud kerana ia semata-mata bertujuan dijadikan wadah politik parti itu untuk memenangi hati rakyat, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
Beliau berkata hukum hudud sering dijadikan isu semasa pilihan raya dan kini ia dibangkitkan kembali kerana pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) hampir tiba.
“Kita lihat negeri Kelantan yang sudah lama diperintah Pas, kenapa tak dilaksanakan hukum itu kalau mereka betul-betul berkemampuan dan berkebolehan? Jalankanlah hukum itu disana,” katanya kepada media semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berhenti rehat.
Ahmad berkata demikian ketika mengulas soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Ru Rendang) yang ingin tahu bilakah kerajaan Terengganu bercadang untuk menguatkuasa dan melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) sebagaimana yang telah diwartakan pada 2002.
Ahmad, yang juga ADUN Kijal, berkata Pas tidak ikhlas kerana parti itu tahu perkara itu sukar dilaksanakan.
“Mereka (Pas) luluskan enakmen itu pada 2001 di Terengganu dan mereka ada masa tiga tahun untuk laksana, kenapa tak buat? Di Kelantan hampir 10 tahun enakmen itu diluluskan, tapi tak dilaksanakan juga,” katanya