JOHOR BAHRU 12 Nov. - Kehadiran Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di Pasir Gudang malam tadi sehingga menimbulkan pergaduhaan amat dikesali dan beliau dianggap tidak sepatutnya datang ke negeri ini kerana rakyat Johor masih marah dengan kenyataannya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kedatangan Mohamad atau Mat Sabu tidak dialu-alukan apatah lagi dalam situasi politik masa kini yang panas dengan pelbagai isu terutamanya kontroversi yang dicetuskan oleh pemimpin kanan Pas itu.
"Saya kecewa dan ini tidak sepatutnya berlaku. Mereka harus faham suhu politik sekarang tengah naik dan ditambah lagi dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkannya (dalam ceramah).
"Apabila pihak (yang tidak menyokong Mat Sabu) mendengar putar-belit dan tuduhan, sudah tentu akan menimbulkan perkara yang tidak diingini," katanya ketika ditanya mengenai kekecohan semasa ceramah Mat Sabu di Pasir Gudang, malam tadi.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi ditemui selepas merasmikan Program Kem Kesihatan dan Hari Bersama Pakar dan Pelajar Universiti Putra Malaysia di Rumah Pangsa Seri Alam, Pasir Gudang, dekat sini hari ini.
Kira-kira 50 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pasir Gudang berhimpun membantah kehadiran Mat Sabu semasa berceramah di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Perjiranan 9, Taman Air Biru, Pasir Gudang, malam tadi.
Bantahan itu menyebabkan kumpulan NGO tersebut dan para penyokong Mat Sabu bergaduh sehingga menyebabkan seorang cedera di kepala dan seorang lagi pengsan.
Mereka yang cedera itu adalah penyokong kumpulan NGO tersebut. Bagaimanapun kekecohan tersebut dapat dikawal dengan kehadiran kira-kira 150 anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Mohamed Khaled berharap pada masa akan datang pihak berkaitan menimbang dengan lebih terperinci untuk meluluskan permit Mat Sabu berceramah apabila melibatkan sesebuah kawasan panas.
Mengenai dakwaan Mat Sabu dalam ceramahnya bahawa pembangkang mampu menawan Pasir Gudang pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, kenyataan itu hanya propaganda pemimpin Pas tersebut.
"Kita tidak hairan kerana ini bukan kali pertama dia berkata demikian. Ini propaganda dan dia akan cakap apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka," katanya.