Malaysia akan mendapat manfaat daripada kebijaksanaan parti pembangkang jika ia disalurkan untuk menambah baik program inisiatif kerajaan seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan restoran Menu Rakyat 1Malaysia, kata seorang penuntut universiti.
"Tetapi ternyata pihak pembangkang memilih untuk mengkritik.. atau lebih suka mengecam... hampir semua yang dilakukan oleh kerajaan termasuk KR1M dan Menu 1Malaysia yang bertujuan untuk mengurangkan beban perbelanjaan yang semakin meningkat di kalangan penduduk bandar," kata mahasiswi tahun tiga di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini.
Hanya mahu dikenali sebagai Shera, beliau berkata pemimpin pembangkang harus lebih matang dan menghargai usaha kerajaan dan bukan hanya mengutuk setiap inisiatif yang dilakukan kerajaan.
"Sekiranya mereka tidak mahu menyumbang idea positif, jadi mereka harus tampil dengan konsep yang lebih baik tentang KR1M dan Menu 1Malaysia dan melaksanakannya di negeri di bawah pemerintahan mereka," katanya kepada Bernama apabila ditemui di KR1M, Wangsa Maju di sini.
Jika tidak mereka hanya sekadar tin kosong, katanya dan menambah beliau berjaya menjimatkan beberapa ringgit daripada perbelajaan bulanan RM80 apabila membeli barangan keperluan di KR1M.
Adakah mereka benar-benar tin kosong yang hanya pandai membuat bising? Bagi mereka yang berkongsi sentimen Shera, ia adalah sesuatu yang memenatkan untuk mendengar hanya suara kutukan daripada pembangkang terhadap mana-mana program inisiatif yang dibuat oleh kerajaan.
Terbaru adalah KR1M dan Menu 1Malaysia. Mungkin pengkritik tidak berpandangan cukup jauh untuk menyedari kedua-dua inisiatif ini adalah untuk membuktikan kepada rakyat kebimbangan mereka sentiasa diambil berat dan ditangani oleh kerajaan.
Tetapi persoalannya, pembangkang mana yang tidak risau melihat usaha-usaha kerajaan yang semakin diterima selaras dengan konsep 1Malaysia, dan terkini kedua-dua inisiatif itu berjaya meraih sokongan rakyat yang memberi banyak kebaikan kepada penduduk bandar, yang dikatakan merupakan penyokong kuat pembangkang?
Mungkinkah prasangka itu dibangkitkan bukan kerana keprihatinan terhadap rakyat tetapi lebih kepada perasaan bimbang peti undi di kawasan bandar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti, mungkin terlepas daripada genggaman pembangkang?
Kritikan pembangkang cepat disebarkan oleh penyokong mereka melalui media sosial yang mempertikaikan kenapa kerajaan membabitkan diri dalam perniagaan seperti KR1M dan dakwaan seorang anggota Parlimen bahawa beliau membayar harga makanan yang tinggi di restoran Menu 1Malaysia.
Pada PRU ke-12 menyaksikan pakatan pembangkang DAP-PAS-PKR berjaya menawan empat negeri, yang merupakan platform cukup besar bagi mereka untuk mengotakan janji-janji mereka dan melaksanakan program berorientasikan rakyat yang lebih baik, sekiranya mereka benar-benar jujur.
Tetapi benarkah mereka telah melakukan yang terbaik untuk rakyat mereka sepanjang tiga tahun memerintah seperti mewujudkan KR1M dan Menu 1Malaysia? Mungkin, mereka hanya mempunyai satu cerita untuk diberitahu -- iaitu seorang Menteri Besar yang membayar nasi bungkus berharga RM3 untuk makanan tengah harinya.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Ma'amor Osman berkata inisiatif penubuhan KR1M dan Menu 1Malaysia masih lagi baru dan masih ada ruang untuk penambahbaikan.
"Saya cadangkan pembekal produk KR1M dan operator restoran Menu 1Malaysia harus mempunyai kawalan mutu dalaman bagi memastikan rakyat mendapat pulangan berbaloi untuk wang mereka," katanya kepada Bernama, mengulas mengenai dakwaan produk yang dijual di KR1M berkualiti rendah dan lebih mahal berbanding harga di pasar raya lain.
Beliau berkata pihak berkuasa juga harus segera membuat penyiasatan terhadap sebarang aduan untuk menyakinkan pelanggan.
"Bagi pembangkang, kemukakan bukti untuk mengesahkan dakwaan mereka. Jangan hanya sekadar membuat dakwaan untuk menimbulkan kesangsian tentang outlet berkenaan di mana rakyat mendapat faedah dan memberi pulangan berbaloi untuk wang mereka.
"Tetapi sekiranya dakwaan itu benar, pihak berkuasa harus mengambil tindakan terhadap operator terbabit," katanya.
Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam menafikan dakwaan yang dibuat oleh setiausaha publisiti kebangsaan DAP Tony Pua dan mendesak beliau untuk memberikan bukti bahawa terdapat makanan yang telah tercemar di KR1M.
Jumaat lepas, Pua mendakwa hasil ujian makmal menunjukkan terdapat kandungan tinggi koliform dalam susu segar dan sembilan produk lain -- produk di dalam botol iaitu sos tiram, jem nanas, ais krim, susu sejat dan makanan di dalam tin seperti krimer pekat manis, minyak sapi, sardin dan kari ayam.
KR1M telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas keperihatinan mengenai peningkatan kos sara hidup rakyat yang berpendapatan rendah di bandar.
Berkonsepkan pasar mini, KR1M yang dikendalikan oleh Mydin Mohamed Holdings Bhd, ia menjual pelbagai barangan keperluan asas pada harga yang lebih rendah di kawasan bandar yang mudah dikunjungi.-16/11/2011