Translate

17/10/2011

Pasukan lawan puji kehebatan Terengganu


Keupayaan Skuad “Penyu” mengekang pasukan Kelantan pada pertandingan suku akhir kedua Piala Malaysia di gelanggang lawan Jumaat lalu, mendapat pujian Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut beliau, walaupun Kelantan kecewa dengan keputusan yang memihak kepada Terengganu, perlawanan antara kedua-dua pasukan dari Pantai Timur itu merupakan pertandingan yang terbaik dan pihaknya akur dengan kehebatan pasukan Terengganu.

Katanya, Terengganu sememangnya layak menang kerana mempamerkan aksi bertenaga mereka selain menghukum kelalaian barisan pertahanan Kelantan yang agak leka mengekang asakan pasukan pelawat itu.

"Mereka layak menang kerana bermain bersungguh-sungguh dan mempamerkan aksi sangat bertenaga. Kelantan tewas di tangan pasukan yang lebih baik daripada kita (Kelantan).

"Penyerang dan barisan pertahanan Terengganu bermain dengan cemerlang dan menghukum kelalaian pemain Kelantan terutama di barisan pertahanan," katanya.

Pada perlawanan itu, Kelantan dan Terengganu mencatatkan keputusan seri 2-2 tetapi Skuad “Penyu” berjaya melangkah ke separuh akhir apabila mencatatkan keputusan secara agregat 5-3.

"Kepada Terengganu kita ucapkan selamat maju jaya untuk tempoh yang akan datang manakala kita (Kelantan) akan mula mengatur persiapan untuk musim akan datang," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...