Translate

18/10/2011

Kerajaan Perlu Ambil Tindakan Ke Atas Ibu Bapa Tidak Hantar Anak Ke Sekolah


KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Seorang Anggota Parlimen mencadangkan supaya tindakan dikenakan ke atas ibu bapa yang masih tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan alasan kurang berkemampuan.

Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) berkata ibu bapa tidak boleh menggunakan alasan kurang berkemampuan lagi kerana kerajaan telah memansuhkan yuran persekolahan untuk sekolah rendah dan menengah bermula sesi persekolahan tahun depan.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 di Dewan Rakyat di sini Isnin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012 pada 7 Okt lepas mengumumkan buat pertama kalinya dalam sejarah pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan disediakan secara percuma bermula sesi persekolahan 2012 bagi membolehkan setiap kanak-kanak di negara ini, tanpa mengira latar sosio-ekonomi, mendapat pendidikan.

Liang juga berharap para guru dapat menjalankan tugas mereka dengan baik memandangkan di bawah Belanjawan 2012, para guru turut menerima faedah termasuk tempoh kenaikan gred dipendekkan daripada 20 kepada lapan tahun bagi kenaikan gred 44 dan 16 tahun ke 48.

"Kita tidak mahu ada guru yang tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugas mereka seperti ponteng kerja, kerap ambil cuti sakit, tidak masuk kelas, tidur atau menyentuh soal peribadi pelajar termasuk berkaitan agama," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...