Translate

08/10/2011

Bajet komprehensif


Image Detail

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Tokoh-tokoh korporat tempatan menyambut baik Bajet 2012 yang disifatkan sebagai bajet paling komprehensif kerana menyediakan landasan kukuh kepada negara untuk mendepani cabaran getir ekonomi dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, keseluruhan Bajet 2012 mencerminkan inisiatif kerajaan untuk mencapai keseimbangan dalam menguruskan isu berkaitan rakyat, kitaran dan struktur.


Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia menambah, persekitaran ekonomi global semasa yang mencabar dan risiko terhadap permintaan luaran memerlukan dasar makro ekonomi domestik untuk menyokong permintaan dalaman, terutamanya perbelanjaan pengguna dan perniagaan.

''Belanjawan 2012 jelas peka dan mengambil berat mengenai kebimbangan yang disuarakan oleh rakyat terhadap isu sara hidup dengan menyediakan banyak manfaat kepada semua golongan,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak pula berkata, Bajet 2012 adalah kreatif dan bertanggungjawab dalam usaha mengurangkan defisit kepada 4.7 peratus pada 2012.

Menurutnya, lebih penting lagi dan paling utama Bajet 2012 memberi kelebihan kepada rakyat.

''Saya tertarik dengan pendekatan tumpuan terhadap pembangunan modal insan dan usaha-usaha menangani tahap kenaikan hutang pengguna.

''Sehubungan itu, saya memuji unjuran kerajaan untuk meningkatkan pendapatannya kepada 14.9 peratus pada 2011, yang mewakili penambahbaikan kecekapan keseluruhan dalam sektor awam,'' kata Nazir.

Pengarah Urusan Syarikat Prasarana Negara Bhd., Shahril Mokhtar berkata, secara keseluruhannya, ia adalah bajet mesra rakyat dan perniagaan bertujuan meneruskan pembinaan pelan peluasan pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan infrastruktur dan agrikultur.

''Sebagai pengendali sistem pengangkutan awam negara, kami akan terus menyokong komitmen kerajaan melalui penyertaan dalam pembangunan infrastruktur dan fizikal seperti pengangkutan dan pelancongan,'' kata beliau.

Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa, Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin pula berkata, Bajet 2012 memenuhi harapan rakyat terhadap kerajaan terutama dalam menangani bebanan kos hidup yang semakin tinggi.

Beliau percaya, insentif dan inisiatif yang diberikan oleh kerajaan mampu memberi kelegaan kepada rakyat semua peringkat.

''Bagi saya cadangan kadar cukai keuntungan hartanah menunjukkan keseriusan kerajaan membendung kenaikan harga kediaman yang melampau di bandar,'' menurut beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia Bhd., Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, bajet kali ini mampu memberikan kehidupan yang lebih sempurna kepada rakyat, sekali gus memperkasakan negara ke fasa pembangunan sepenuhnya.

''Bajet 2012 sememangnya mendahulukan rakyat dan kami gembira dengan langkah kerajaan merangka bajet yang seimbang ke arah pertumbuhan berkekalan dan menyeluruh," katanya

Menurut beliau, TM akan terus memberikan sokongan kepada inisiatif-inisiatif yang digariskan di dalam bajet kali ini selain terus komited membawakan gaya hidup digital yang dipertingkatkan dan bersepadu dengan perkhidmatan telekomunikasi.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd., Datuk Mohd Bakke Salleh berkata, bajet kali ini adalah tepat dalam memberi fokus kepada aspek-aspek utama keperluan transformasi untuk meningkatkan status ekonomi negara menjadi ekonomi maju.

''Keutamaan dalam pembangunan modal insan dan pembangunan luar bandar, selain meningkatkan keselesaan rakyat melalui pelbagai peruntukan akan membantu merangsang ekonomi domestik tahun depan,'' ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Bhd., Sandip Das berkata, bajet kali ini adalah kesinambungan daripada usaha-usaha yang sedang dijalankan untuk menjamin masa depan yang kukuh untuk negara.

Bajet kali ini memberi impak kepada dua sektor utama iaitu pembangunan hartanah dan hospitaliti terutama sekali di dalam mengekang spekulasi harga hartanah dan menstabilkannya.

Timbalan Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Bhd., Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, langkah-langkah ini akan memberikan peluang kepada rakyat untuk memiliki hartanah pada harga yang stabil dan meningkat secara organik

Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Bhd., Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, Bajet 2012 adalah bajet seimbang yang mengambil kira pelbagai permintaan dan aspek dalam keadaan kekangan bajet.

''Bajet ini memperkenalkan banyak pendekatan untuk menangani kos kehidupan dan isu-isu pembangunan modal insan turut menyasarkan peningkatan perbelanjaan swasta pada masa sama.

''Ia adalah bajet yang efisen bagi menguruskan keperluan segera dalam persekitaran tidak menentu," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd. Najib Abdullah berkata, beliau optimistik Bajet 2012 akan membantu Malaysia menghadapi kelembapan permintaan luar.

''Malaysia kini sedang memasuki fasa paling mencabar sejak krisis kewangan global 2008, mengambil kira kemeruapan dalam pasaran-pasaran aset kewangan dan Bajet 2012 adalah pendekatan kestabilan dalam menghadapi tekanan itu," ujarnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...