KUALA LUMPUR 2 Sept. – Jika sebelum ini isu Bukit Kepong hanya berkisar kepada kenyataan peribadi Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu tetapi ia seolah-olah menjadi pendirian rasmi parti itu menyokong perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).
Ia jelas apabila beberapa pemimpin tertinggi parti itu termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan kenyataan Mat Sabu.
Terbaru, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik cuba menidakkan fakta bahawa Mohammad Indera adalah anggota komunis yang bertanggungjawab membunuh 25 anak bangsa sendiri dalam tragedi itu apabila mendakwa pengganas tersebut adalah guru agama.
Abu Bakar menuduh UMNO yang melabelkan Mohammad Indera sebagai komunis sedangkan mengikut fakta ‘guru agama’ itu memang menyokong dan menjadi ahli komunis sehingga diangkat mengetuai Kompeni Pasukan Keempat Parti Komunis Malaya (PKM).
Malah, Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat itu juga secara terbuka mengesahkan bahawa parti itu akan ‘mengkaji’ semula sejarah negara apabila berkata: “Kita akan mengkaji dan menilai balik sejarah, antaranya kes Mohammad Indera yang akan kita kaji semula.”
Sementara itu, dalam usaha mengiktiraf Mohammad Indera, Abdul Hadi pula cuba mengaitkan tragedi Bukit Kepong dengan peristiwa menawan Mekah oleh Rasulullah SAW.
Presiden Pas itu mempersoalkan apakah Nabi Muhammad SAW juga akan diiktiraf sebagai pengkhianat kerana berbuat demikian.
Ini kerana, katanya, Rasulullah SAW menyerang bangsa dan tanah airnya sendiri di Mekah dan kaum Arab yang dipimpin oleh bapa mertuanya, Abu Suffian.
“Mekah dibebaskan, Mekah dimerdekakan. Dimerdekakan daripada siapa? Dimerdekakan daripada jahiliah, bukan jahiliah Parsi, bukan jahiliah Inggeris, jahiliah Perancis, jahiliah Cina dan India. Mekah dibebaskan daripada jahiliah Arab, sebangsa dengan Nabi (Muhammad) SAW,” jelasnya.
Ia kemudian disusuli dengan kenyataan seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mujahid Yusof yang seolah-olah ‘menghalalkan’ pembunuh di Bukit Kepong apabila mendakwa, serangan oleh 200 anggota komunis itu adalah bagi menyerang sarang British.
Mengulas perkara itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, kegilaan Pas sehingga sanggup berbuat apa sahaja demi politik, hatta mengubah sejarah kemerdekaan bakal mendatangkan bahaya kepada negara.
Katanya, tindakan Pas mewarna sejarah negara mengikut selera politik sehingga mengagungkan komunis yang membunuh 24 orang Melayu dan seorang lelaki Cina dalam tragedi Bukit Kepong adalah bertujuan untuk membangkitkan semangat memberontak di kalangan generasi muda.
“Tindakan ini adalah penyelewengan dalam pentafsiran sejarah Malaysia. Walaupun anggota keselamatan yang dibunuh itu adalah polis yang bertugas ketika zaman British tetapi adakah mereka mabuk darah seperti komunis? Atas justifikasi apa nyawa mereka halal dibunuh?.
“Atas fakta apa komunis layak diangkat sebagai hero? Saya tidak fikir ada seorang pun pakar sejarah kemerdekaan negara yang setuju dengan kenyataan dangkal Mat Sabu (Mohamad Sabu). Fakta sejarah kekal sebagai hakikat sebenar yang tidak boleh ditafsir mengikut selera politik.
“Apa sumbangan komunis sehingga diiktiraf sebagai hero. Apakah membunuh 25 nyawa anak watan perbuatan seorang hero? Apakah dengan membunuh ribuan anggota keselamatan semasa darurat perbuatan seorang hero,” katanya hari ini.