Translate

26/09/2011

KWSP harap kerajaan lanjut usia persaraan sektor swasta


KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap kerajaan akan melanjutkan umur persaraan sektor swasta kepada sekurang-kurangnya 60 tahun daripada 55 tahun sekarang ini. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol, berkata beliau berharap pelanjutan umur persaraan itu dibuat pada pengumuman bajet akan datang"Saya berharap pada 58, jika tidak 60, sebagai umur persaraan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada Persidangan Penjagaan Kesihatan dan Pencen Swasta Malaysia 2011 di sini hari ini.

Beliau juga mengharapkan sesuatu bagi gaji minimum dimasukkan dalam bajet tersebut. 

Terdahulu dalam ucaptamanya, Azlan berkata dua isu yang perlu ditangani Malaysia dalam melaksanakan sistem pencen yang efisien. 

"Satu daripadanya ialah jumlah rakyat berusia yang meningkat pantas dan keduanya, jumlah simpanan persaraan yang rendah yang menjadikan pesara terdedah untuk menjadi miskin," katanya. 

Azlan berkata, Perancis dan AS masing-masing mengambil masa 115 dan 69 tahun untuk berubah menjadi negara "meningkat tua" kepada "berusia", Malaysia dijangka mengambil masa hanya 27 tahun. 
Mengenai ketidakcukupan simpanan persaraan, beliau berkata kebimbangannya dua kali ganda. 

"Pertamanya, jumlah bulanan lebih kecil berbanding pendapatan garis kemiskinan 2009 sebanyak RM800 sebulan dan anggota bukan aktif yang pada 2010 berumur 54 mengatasi anggota aktif sebanyak tiga kali," katanya. 

Beliau berkata, melihat kepada pengagihan sebenar simpanan kumpulan berkenaan, sebanyak 73 peratus daripadanya mempunyai kurang daripada RM50,000 simpanan manakala hanya 17 peratus mempunyai lebih RM100,000 pada masa persaraan mereka. 

"Lebih memburukkan lagi, banyak anggota membelanjakan wang persaraan mereka terlalu cepat," katanya. 

Katanya, satu lagi faktor ialah peningkatan tempoh persaraan. 

"Apabila ia mula diperkenalkan pada 1951, umur pengeluaran penuh bagi dana kami ialah 55 tahun yang sama puratanya dengan jangka hayat rakyat Malaysia ketika itu. 

"Kira-kira 60 tahun kemudiannya, umur pengeluaran penuh kekal tetapi jangka hayat purata rakyat Malaysia bertambah kepada 75 tahun," katanya. 

Rakyat Malaysia kini perlu menyimpan untuk tempoh persaraan 20 tahun berbanding waktu singkat pada 60 tahun dulu. - BERNAMA 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...