Pihak Berkuasa Singapura Tahan Tiga Individu Di Bawah ISA
SINGAPURA, 13 Sept (Bernama) -- Pihak berkuasa republik ini telah menahan tiga orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam aktiviti keganasan antara Januari hingga Julai tahun ini, menurut Kementerian Dalam Negeri Singapura.
Mereka dikenali sebagai Jumari Kamdi (Jumari) dan Samad Subari (Samad), yang menganggotai Jemaah Islamiyah (JI), sebuah pertubuhan pengganas, dan Abdul Majid a/l Kunji Mohammad (Abdul Majid), seorang anggota Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), menurut kenyataan kementerian itu.
Pengumuman dibuat hanya sehari selepas ulang tahun ke-10 serangan 11 Sept ketika para pemimpin Singapura menegaskan pentingnya sikap waspada dalam mengendalikan ancaman keganasan di rantau ini.
Perintah Tahanan (OD) di bawah ISA itu dibuat ke atas Jumari pada Januari tahun ini, Abdul Majid pada Jun tahun ini juga dan Samad pada Julai lepas.
Jumari adalah seorang anggota rangkaian JI dari sebuah negara jiran di mana beliau berpindah pada tahun 80-an.
Beliau telah menjalani latihan ketenteraan dianjurkan oleh JI termasuk cara mengendalikan senjata. Jumari ditangkap pada November tahun lepas dan dihantar pulang ke Singapura.
Abdul Majid pula yang tinggal di Malaysia sejak pertengahan 90-an, adalah seorang anggota MILF sejak 1998. Beliau telah menjalani latihan mengendalikan senjata dan membuat peralatan letupan di Khemah Abu Bakar milik MILF di Mindanao, Filipina.
Sejak beberapa tahun beliau membantu MILF mendapatkan dana dan alat senjata. Abdul Majid ditangkap di Malaysia pada Mei tahun ini dan selepas itu dihantar pulang ke Singapura.
Samad adalah salah seorang anggota pengasas bagi rangkaian JI Singapura dan telah menjalani latihan pengganas bersama Al-Qaeda di Afghanistan pada tahun 2001.
Selepas gerakan keselamatan memburu ke atas rangkaian JI, Samad telah lari ke Indonesia dan terus bersembunyi sehingga dia ditangkap oleh polis Indonesia di Sumatera pada Jun 2009.
Beliau kemudian dihadapkan ke mahkamah dan dipenjarakan kerana beberapa kesalahan imigresen. Setelah selesai menjalani hukuman penjara pada Jun tahun ini, Samad dihantar pulang ke Singapura.
Sementara itu, menurut kenyataan kementerian berkenaan, pihak berkuasa telah membebaskan seorang tahanan JI bernama Mohamed Khalim Jaffar (Khalim) pada 1 Sept lepas.
Beliau yang dibebaskan di bawah Arahan Penggantungan (SD) adalah seorang anggota JI Singapura yang pertama kali ditahan di bawah ISA pada Januari 2002.