Translate

12/09/2011

Cermin diri sebelum cepat beri teguran atau nasihat

Image Detail

SEMPENA Lebaran, ramai Muslim kunjung-berkunjung bersama keluarga ke rumah sanak saudara dan rakan taulan demi menyemarakkan lagi kegembiraan Syawal di samping merapatkan lagi tali persaudaraan.

Ini kerana peluang melakukannya di luar Syawal agak terbatas dek kesibukan ehwal masing-masing.

Di saat itulah, selain bertanya khabar dan perkembangan diri/keluarga satu sama lain, ada ketua atau ahli keluarga menyelitkan kata-kata nasihat demi kebaikan bersama.


Lantas ada segelintir golongan berpengalaman, berpengaruh, berusia atau bijak pandai yang sering berasa perlu mengatur laluan hidup orang- orang di sekelilingnya dengan memberi nasihat, buah fikiran atau pandangan.

Namun, gesaan ini perlu disemak kerana ramai gemar memberi nasihat tetapi ada kalanya lupa mencermin diri sendiri.

Contohnya, seorang warga emas memberi nasihat perihal pentingnya menjaga kesihatan kepada tetamu di rumahnya. Sayangnya, beliau merokok ketika menegur kanak-kanak yang sedang menjamu selera.

Pada kesempatan lain, ada pasangan suami isteri yang saban tahun menerima bantuan kewangan daripada badan kebajikan menegur akan pentingnya kanak-kanak menabung dan berjimat ketika mendapat duit Raya.

Ini belum termasuk pengalaman pasangan suami isteri yang sudah bercucu diberi panduan kehidupan berumah tangga oleh belia yang baru selesai kursus kaunseling di peringkat ijazah.

Sebelum Lebaran ini, kecoh kisah kanak-kanak mangsa dera disiarkan Berita Minggu. Ia menjadi tajuk perbincangan ketika berkunjung ke rumah sahabat handai.

Ramai mengecam tindakan keluarga asuhan kanak- kanak itu yang menderanya secara jasmani. Sayangnya, tanpa disedari, kita juga ada kalanya 'dera' anak-anak kita secara emosi.

Contohnya, anak-anak diheret berjalan Raya hingga larut malam dalam keadaan mereka sudah penat dan ngantuk lagi letih.

Ada pula membandingkan pencapaian akademik kanak-kanak di saat berkunjung hingga menyebabkan tekanan dalam diri anak yang rendah pencapaiannya.

Lebih buruk, jika anak-anak gadis dipaksa berpakaian Raya dengan tidak memenuhi ciri-ciri pakaian Muslimah atau sopan.

Jika kita tegur golongan sebegitu, kita akan dianggap biadab. Tetapi, jika dibiarkan kesedaran diri tidak akan wujud pada hari muka.

Apa pun, usaha kita ke arah menyedarkan golongan ini biarlah seperti menarik rambut di dalam tepung, iaitu dengan bijaksana.

Ini agar setiap insan tahu dan sedar akan kelemahan/kekuatan pandangan masing-masing agar tidak seperti si bodoh makanan si pandai.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...