Translate

28/08/2011

Seminar Dan Pameran Perkembangan Arkeologi Terengganu Pada 25 Sept

Image Detail

KUALA TERENGGANU, 28 Ogos (Bernama) -- Penemuan Bewah Man, rangka manusia di Gunung Bewah, Tasik Kenyir yang dikatakan berusia 13,400 tahun, bakal menjadi tumpuan pada Seminar dan Pameran Perkembangan Arkeologi Terengganu mulai 25 Sept ini.

Penolong Kurator Sejarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) Azuan Harun selaku penyelaras pameran berkata antara lain, pameran itu bertujuan menyalurkan maklumat kronologi persejarahan dan budaya negeri melalui penemuan dan pembuktian bahan-bahan arkeologi.
"Penemuan Bewah Man pada 2009 akan menjadi fokus utama pada seminar yang akan mengumpulkan lapan pembentang kertas kerja di kalangan anggota akademik daripada pelbagai bidang sebagai satu perkongsian ilmu," katanya kepada Bernama di sini.

Azuan berkata lawatan ke tapak penemuan Bewah Man merupakan antara pengisian program pada seminar tiga hari di Dewan Batu Bersurat LMNT.

Sempena seminar yang diadakan dengan kerjasama Kerajaan Terengganu itu, satu pameran arkeologi Terengganu selama seminggu akan diadakan mulai 25 Sept di Galeri Mandika di muzium berkenaan.

Ia antara mempamerkan bukti-bukti penemuan arkeologi Bewah Man dan pelbagai alat zaman batu.

Azuan berkata sebagai perbandingan, beberapa bukti penemuan arkeologi dari luar Terengganu juga akan dipamer seperti Perak Man dan Batu Meteor.

-- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...