LONDON: Pemilik AirAsia dan anggota Lembaga Pengarah Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tony Fernandes kini sah pemilik baru kelab bolasepak Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR).
Berita mengenai pembelian saham majoriti kelab tersebut oleh Fernandes telah mendapat liputan meluas boleh dikatakan semua media utama Britain.
Beliau telah membeli kesemua 66 peratus saham yang dipegang oleh supremo Formula One, Bernie Ecclestone di dalam kelab tersebut.
Jumlah pembelian tersebut dianggarkan bernilai £35 juta - hampir sama banyak dengan nilai yang dibayar oleh Manchester City untuk memperolehi khidmat pemain prolifik Argentina, Sergio Aguero.
Pelaburan yang dibuat oleh Tony Fernandes, 47, dikatakan menyamai jumlah wang yang dikeluarkan oleh Ecclestone dan seorang lagi rakan kongsinya, Flavio Briatore ke atas QPR sejak mereka mengambil alih kelab tersebut pada tahun 2007.
"Adalah menjadi impian saya untuk melibatkan diri dalam dunia pengurusan bolasepak dan peluang untuk memiliki sebuah kelab bolasepak di London adalah terlalu baik untuk diketepikan begitu sahaja," kata Fernandes.
Beliau menyifatkan QPR sebagai sebutir berlian yang belum digilap dan berharap beliau akan dapat menyumbang sesuatu yang bermakna untuk menjadikannya sebuah berlian yang berkilauan.
Seorang lagi pemegang saham terbesar QPR, taikun besi dari India, Lakshmi Mittal, difahamkan masih mengekalkan penguasaan sebanyak 33 peratus saham.
Fernandes juga dikatakan telah berjanji untuk melabur sejumlah £10 juta lagi untuk membolehkan QPR membeli pemain baru.
Salah seorang pemain yang menjadi buruan QPR ialah pemain terbaik EPL musim lalu, Scott Parker dari West Ham.
Fernandes juga tidak menolak kemungkinan akan turut mempromosikan syarikat penerbangannya AirAsia dan juga MAS bersama QPR.
Buat masa ini Team Lotus, salah satu pasukan dalam Formula Satu yang mana Fernandes adalah pemilik dan penggerak utamanya ditaja oleh AirAsia.
Kejayaan Fernandes menguasai 66 peratus pegangan saham dalam QPR hanya muncul tidak sampai dua bulan selepas kegagalannya untuk membeli kelab West Ham.
Nampaknya kegagalan pembelian kelab tersebut bagaikan membawa tuah kepada Fernandes kerana West Ham kini telah disingkirkan ke Bahagian Kedua Liga dan QPR sebaliknya berada di Liga Perdana selepas menjuarai Liga Bahagian Dua England.
Dilahirkan di Kuala Lumpur dan menerima pendidikan di sekolah berasrama penuh Epsom College, United Kingdom, beliau kemudian melanjutkan pelajarannya ke universiti berprestij, London School of Economics dengan pengkhususan dalam bidang perakaunan.
Beliau kemudian berkhidmat dalam industri muzik selama 14 tahun sebelum membuat keputusan drastik menceburkan diri dalam industri penerbangan dengan membeli kepentingan dalam AirAsia pada tahun 2001, lalu menukarkan syarikat itu sebagai sebuah syarikat tambang murah paling popular di dunia.
AirAsia kini menerbangkan sejumlah 18 juta penumpang ke 65 bandar di seluruh dunia.