Translate

05/07/2011

Puea Thai akan bentuk kerajaan campuran dengan empat parti lain


BANGKOK: Parti Puea Thai pimpinan Cik Yingluck Shinawatra yang baru memenangi pilihan raya umum semalam mengumumkan akan membentuk satu kerajaan campuran dengan empat parti kecil yang lain.


Empat parti itu Parti Chartthaipattana, Chart Pattana Puea Pandin, Palangchon dan Mahachon.

'Semua lima parti ini bersetuju bekerjasama untuk memerintah negara ini dan menghuraikan masalah rakyat. Isu pertama yang genting ialah bagaimana mencapai penyatuan,' kata Cik Yingluck, yang merupakan adik perempuan mantan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.



Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mengesahkan parti pembangkang Puea Thai memperoleh majoriti 265 kerusi daripada 500 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Perdana Menteri, Encik Abhisit Vejjajiva, yang mewakili Parti Demokrat tewas selepas hanya memenangi 159 kerusi.

Jumlah penduduk yang keluar mengundi mencecah 75 peratus, peratusan sama pada pilihan raya umum 2007 lalu.

Secara keseluruhan, kerajaan campuran yang baru akan menguasai 299 kerusi atau sekitar 60 peratus kerusi Parlimen.

'Dengan 299 kerusi, kerajaan campuran stabil sepenuhnya untuk bekerjasama dan berkhidmat kepada rakyat,' kata Cik Yingluck kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan parti-parti itu di sini, semalam.

Menurutnya, selain bekerja ke arah mencapai penyatuan rakyat, kerajaannya akan turut menangani masalah ekonomi, khasnya mengenai kenaikan harga barangan.

'Kita juga akan memulihkan hubungan dua hala dengan negara jiran kita,' kata Cik Yingluck, yang merujuk pada hubungan Thai-Kemboja.

Hubungan kedua-dua negara agak renggang kebelakangan ini akibat konflik sempadan. Menurut beliau lagi, kesemua lima parti komponen berkongssi aspirasi yang sama untuk membawa negara itu ke mercu pembangunan baru dan kestabilan untuk manfaat rakyat.

Mengikut Perlembagaan Thai, Parlimen mesti mengadakan sesi sidang pertamanya dalam masa 30 hari dari hari pilihan raya.Parlimen kemudian akan memilih perdana menteri menerusi proses pengundian sebelum kerajaan baru boleh dibentuk.

Pemimpin umum Puea Thai, Encik Thaksin, sebelum ini telah membayangkan semasa pilihan raya bahawa parti itu akan membentuk sebuah kerajaan campuran sungguhpun jika ia mampu membentuk sebuah kerajaan parti tunggal.

Ini memandangkan kerajaan baru mungkin sukar bekerjasama jika semua parti yang kalah bergabung dengan pembangkang.Enam parti pembangkang lain - Parti Demokrat, Bhum Jai Thai, Rak Thailand, Matubhum, Demokratik Baru, Rak Santi - akan mempunyai 201 kerusi.

Cik Yingluck menambah antara tugas yang akan dilakukan oleh kerajaannya ialah membentuk badan khas bagi menyiasat keganasan yang berlaku pada Mei 2010, apabila 91 penunjuk perasaan terkorban semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...