Translate

30/07/2011

Pembangkang pilih jalan selamat pelawa Ku Li

View Image

KUALA LUMPUR 29 Julai - Pembangkang dilihat memilih jalan selamat dengan mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah untuk memegang jawatan Ketua Pembangkang sebagai persediaan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan dalam kes liwat yang dihadapinya ketika ini.

Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, ia berikutan sifat keterbukaan Tengku Razaleigh terhadap semua pihak termasuk pembangkang serta ketokohan dan moral tinggi yang dimiliki Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu.

Menurutnya, KITA Kedah tidak terkejut dan percaya dengan pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim kerana yakin ramai pemimpin pembangkang yang sudah arif dengan tabiat Anwar selama ini.

"Pembangkang tahu mereka tidak boleh mengharapkan Anwar sepenuhnya, namun mereka boleh mengambil risiko dan kesempatan atas keterbukaan dan ketokohan serta moral tinggi Tengku Razaleigh yang tidak sama seperti Anwar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bahawa Tengku Razaleigh dipelawa pihak pembangkang memegang jawatan Ketua Pembangkang sebagai persediaan jika Anwar disabit bersalah dalam kes liwat yang dihadapinya ketika ini.

Zamil dalam pada itu, berkata, rakyat perlu melihat kemampuan pihak pembangkang kerana mereka sebenarnya tidak mempunyai pemimpin yang berkaliber untuk membawa tiga parti berkenaan ke Putrajaya.

Kata beliau, KITA Kedah percaya pendedahan Zahrain itu adalah benar kerana pembangkang sering berlakon bahawa gabungan mereka kuat, namun sebaliknya untuk memimpin tiga parti itu mereka terpaksa meminta ihsan pemimpin dari parti kerajaan.

"Akhirnya mereka terpaksa import dan akui bahawa pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah yang hebat untuk menggantikan Anwar.

"Namun, kita percaya, Tengku Razaleigh tidak mudah dan moral beliau tidak serendah itu untuk menerima pelawaan pembangkang," katanya.

Sementara itu, Zamil berkata, beliau dimaklumkan bahawa Anwar terkejut dan kecewa dengan usaha pihak pembangkang untuk menjadikan Tengku Razaleigh sebagai Ketua Pembangkang.

Katanya, maklumat itu diperolehnya hari ini daripada rakan-rakannya yang masih berada di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, sumber itu juga menyatakan bahawa Anwar telah mengetahui siapa yang memulakan usaha untuk melantik Tengku Razaleigh menggantikan tempat beliau itu.

"Namun, saya percaya, Anwar dan pemimpin pembangkang lain akan 'main wayang' di pentas ceramah mereka seolah-olah tidak ada apa berlaku dengan mengambil pendekatan tunggu dan lihat," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...