KUALA LUMPUR 10 Julai - Peserta perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu negara semalam disifatkan sebagai penderhaka kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, malah, Datuk S. Ambiga sebagai penganjur Bersih juga perlu dilucutkan hak kerakyatannya.
"Ambiga sudah diberi peluang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong tetapi akhirnya melawan titah Tuanku. Kalau di Thailand orang seperti ini sudah dihalau dan dilucutkan kerakyatannya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ibrahim mendapat maklumat ada peserta perhimpunan haram itu dibayar upah.
"Kebanyakan peserta yang menyertai perhimpunan haram semalam bukan dari Kuala Lumpur. Mereka ini dari luar yang diupah bagi menyertai perhimpunan haram.
"Jika tidak dibayar, tiada siapa yang ingin datang turut serta," katanya.
Mengenai pembatalan perhimpunan yang dirancang Perkasa semalam, beliau berkata, keputusan itu diambil setelah mengambil kira semua nasihat bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor selain menghormati perintah larangan yang dikeluarkan oleh mahkamah.
"Sultan Sharafuddin menyampaikan salinan titah ucapan baginda kepada Perkasa sebelum solat Jumaat lagi. Kami berasa cukup serba salah untuk meneruskan perhimpunan ini.
"Tambahan pula, perkara ketiga tujuan penubuhan Perkasa juga adalah untuk memperkasakan institusi diraja," katanya.