Translate

31/07/2011

Lebih 2,000 pelajar akan diberi wang tunai RM1,000 seorang

Sebahagian pelajar gembira menerima insentif daripada Kerajaan negeri Terengganu di majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu Kali Ke-32 Tahun 2011 Bagi Parlimen Kemaman, di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.

Lebih 2,000 pelajar Tingkatan Enam Atas di seluruh negeri akan diberi wang insentif RM1,000 seorang bagi membolehkan mereka membeli buku-buku rujukan, sebagai usaha meningkatkan kecemerlangan pelajar.



Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, berkata pelajar berkenaan akan diberi insentif tersebut pada satu majlis yang akan dirancang kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu pada bulan Ramadan ini.



“Saya sendiri akan bertemu dengan mereka (pelajar) berkenaan dan memberi nasihat agar mereka menggunakan masa yang ada ini untuk belajar bersungguh-sungguh dan lulus dengan cemerlang,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu Kali Ke-32 Tahun 2011 Bagi Parlimen Kemaman, di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.


Pemberian skim insentif tersebut dimulakan sejak tiga tahun lalu dan hasilnya Terengganu muncul negeri terbaik bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi seluruh negara selama tiga tahun berturut-turut.


“Kita harap bagi peperiksaan STPM pada tahun ini Terengganu akan mengekalkan rekod yang cemerlang ini,” ujarnya.


Sementara itu, pada majlis Bantuan Dana Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, beliau meminta para remaja supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dan menceburi bidang binaan dan perladangan.



Beliau berkata, mereka tidak sepatutnya membiarkan bidang tersebut dimonopoli warga asing dari Indonesia dan Bangladesh saja, kerana ia boleh memberi pendapatan lumayan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...