Encik Alaa A. M. Aldunna, 32 tahun, berkata perkahwinannya dengan wanita tempatan berusia 29 tahun itu berlangsung November tahun lalu, selepas berkenalan dengannya di sebuah hotel, di sini.
'Selepas ditipu dan wang saya dicuri, saya dimaklumkan pihak tertentu, rupa-rupanya saya suaminya yang ketujuh.
'Enam lagi suaminya sebelum ini warga Malaysia dan mereka juga ditipu,' katanya.
Encik Alaa berkata, ketika berkenalan, wanita itu memperkenalkan diri sebagai Datuk Nazatul dan mendakwa dia seorang kerabat diraja.
'Saya percaya dia menggunakan ilmu hitam kerana selepas berkenalan saya mengikut segala kata-katanya. Perkahwinan saya dengannya juga dilakukan tergesa-gesa dan segala-galanya diuruskannya.
'Kami berkahwin di bilik hotel. Jurunikah dan saksi semuanya dibawa Nazatul, malah ibu dan abangnya bersubahat menipu saya,' katanya.
Menurut Encik Alaa, selepas berkahwin beliau bersama isterinya menyewa sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini.
Wanita itu mendakwa mengusahakan sebuah pusat kecantikan.
Tembelang wanita itu terbongkar pada pertengahan Mei lalu, apabila dia menghilangkan diri selepas mencuri dua cek dan mengeluarkan wangnya bernilai hampir RM1 juta.
'Selepas 100 kali mencuba, baru saya dapat bercakap dengannya melalui telefon dan dia mendakwa wang itu digunakan bagi perniagaannya serta tidak akan memulangkannya kepada saya. Selepas itu, saya terus tidak dapat menghubunginya,' kata Encik Alaa.
Encik Alaa telah membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan di Balai Polis Sentul pada 29 Jun lalu.
Katanya, pendedahan itu dilakukan bukan sekadar menuntut keadilan tetapi mahu mengelakkan individu lain menjadi kelicikan wanita terbabit dan keluarganya.
'Saya berharap pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci, selain mengheret wanita itu ke muka pengadilan,' kata Encik Alaa.
Ketua Polis Daerah Sentul, Penolong Pesuruhjaya Zakaria Pagan, mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian itu.