Translate

15/07/2011

Hakikat Bersih 2.0

View Image
ADA yang mengatakan kejadian huru-hara di sekitar Kuala Lumpur pada Sabtu lalu ekoran demonstrasi haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) wajar dijadikan kayu pengukur kepada kematangan budaya politik rakyat Malaysia.
Namun kalau kita ingin berbica soal kematangan dalam berpolitik, harus juga diteliti dari aspek dan unjuran mana ia dinilai.


Dalam politik sesuatu isu itu boleh diamati dari pelbagai sudut dan hasilnya boleh diinterpretasi mengikut fahaman dan kepentingan masing-masing.
Sama juga halnya dengan perhimpunan Bersih 2.0. Macam-macam tafsiran boleh dilakukan kerana ia tidak terbatas kepada dua pilihan sahaja seperti duit syiling iaitu hanya ada 'sing' ataupun 'kong'.
Menerusi laporan hasil pemantauan Majlis Peguam Malaysia, peserta demonstrasi Bersih 2.0 secara umumnya dilihat tenang serta berkelakuan baik di sepanjang perarakan mereka.
Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menyifatkan rakyat Malaysia sudah matang dalam berpolitik lebih-lebih lagi bagi mempertahankan sesuatu pandangan yang mereka percaya dan yakin.
Malah katanya sifat cintakan keamaan jelas terlihat apabila peserta demonstrasi yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dari seluruh negara mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut tanpa sebarang konflik.
"Keadaan aman itu sekaligus bertentangan dengan pandangan pemimpin di beberapa pihak bahawa kononnya perhimpunan itu boleh menjejaskan keharmonian negara," katanya baru-baru ini.
Tapi hakikatnya seperti peribahasa yang cukup klise 'kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang'. Kalau benar semua peserta demonstrasi bergerak dalam keadaan aman, agak tidak munasabah pula sekiranya anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak menembak gas pemedih mata dan pancutan meriam air kearah mereka.
Hakikatnya Majlis Peguam sendiri mengakui hasil pemantauan pihaknya mendapati seorang atau lebih penyokong Bersih 2.0 membaling botol air plastik ke arah pengamal media sebuah stesyen televisyen yang membuat liputan pada hari berkenaan.
Itu baru satu kes yang 'mampu' dilihat oleh dua daripada 100 pemerhati Majlis Peguam yang memantau secara dekat di empat lokasi, iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek, Terminal Bas Puduraya dan Stadium Merdeka.
Bagaimana pula dengan kemungkinan wujud kes-kes terpencil lain yang dicetuskan oleh penyokong Bersih 2.0 bertujuan melakukan provokasi terhadap pihak polis?
Bukan mahu menuduh tapi kemungkinan itu tidak boleh ditidakkan kerana sebarang kebarangkalian boleh berlaku tambahan pula dalam lautan manusia yang membanjiri ibu negara.
Jadi sekali lagi peribahasa klise boleh kita gunakan iaitu 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga'. Kalau tidak ada pihak yang 'gatal tangan' cuba melakukan provokasi terhadap pihak berkuasa, mustahil insiden huru-hara seperti yang dapat disaksikan Sabtu lalu boleh berlaku.
Dengan kata lain, layakkah kita melabelkan rakyat Malaysia sudah matang berpolitik khususnya berkaitan dengan perhimpunan dan demonstrasi yang didakwa pada mulanya mahu dianjurkan dalam keadaan aman?
Ada pihak turut mendakwa bahawa FRU menembak gas pemedih mata dan pancutan meriam air tanpa memberi amaran kepada orang awam yang menyertai demonstrasi haram berkenaan.
Namun berdasarkan hasil laporan Majlis Peguam, pihak mereka mendapati anggota FRU bertindak mengikut prosedur apabila terlebih dahulu memberi amaran agar peserta demonstrasi beredar atau tidak meneruskan perarakan.
Tapi apa kesudahannya dan apa pula alasan yang diberikan? Majlis Peguam mendapati amaran menggunakan alat pembesar suara pihak FRU tidak dapat didengar oleh sebahagian besar peserta melainkan bagi mereka yang berada di barisan hadapan.
Bagaimanapun hasil pemantauan turut mendapati polis menggunakan gas pemedih mata dan pancutan meriam air dengan cara yang salah, termasuk menembak gas terlalu dekat dengan Hospital Tung Shin dan menggunakan meriam air terhadap peserta demonstrasi yang sedang berunding dengan polis.
Selain begitu banyak kecaman dan hinaan terhadap pasukan polis, Majlis Peguam sebaliknya memuji pasukan polis yang bertugas di Jalan Hang Jebat berdekatan Stadium Merdeka.
Pihak polis didapati bersikap sopan serta mengawasi peserta demonstrasi dengan baik, selain berinteraksi terus dengan ketua kumpulan penunjuk perasaan di kawasan itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Chua Jui Meng.
“Datuk Chua dibenarkan memberi ucapan dan orang ramai juga patuh. Tidak ada tembakan meriam air dan penahanan...itulah contoh pengawasan terhadap orang ramai,” kata Lim.
Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berpelembagaan seperti Malaysia, rakyat sememangnya berhak menyuarakan pandangan masing-masing tanpa sebarang halangan mahupun sekatan.
Tapi harus diingat, kebebasan yang diberikan itu bukanlah satu 'nikmat' mutlak yang boleh digunakan secara sesuka hati.
Matlamat kearah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju perlu didokong oleh sistem politik yang matang selain faktor ekonomi yang mapan.
Kematangan dalam politik juga boleh dizahirkan melalui ketertiban serta amalan rundingan yang diamalkan oleh semua pihak di semua peringkat.
Justeru, rakyat Malaysia seharusnya menunjukkan adab dan ketinggian budaya berpolitik dengan menggunakan saluran komunikasi atau rundingan bagi menyelesaikan sebarang masalah tanpa meletakkan negara sebagai risiko kepada pihak luar.
Bak kata pepatah ibarat tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tidak berselerak atau hanya ribut dalam cawan, air tak tumpah, cawan tidak pecah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...