Translate

04/07/2011

'Elakkan berpuak, musuh dalam selimut'

musuh-dalam-selimut.jpg

PEKAN 3 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengamalan politik fraksi atau berpuak-puak dalam parti umpama musuh dalam selimut yang boleh menghalang UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan pada pilihan raya.

Tegas Perdana Menteri, penyakit itu jika berjaya dibendung akan menyaksikan UMNO dan BN mampu mencipta kejayaan cemerlang pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, amalan yang bersifat jatuh-menjatuhkan sesama sendiri itu perlu dielakkan, sebaliknya meletakkan kepentingan parti terlebih dahulu, mengatasi kepentingan peribadi dan kepentingan tertentu.


"Saya mengambil analogi kekalahan pasukan bola sepak Kelantan kepada Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini apabila ada pemain Kelantan menjaringkan gol sendiri di saat akhir.

"Bayangkan dalam konteks politik jika ada ahli (bertindak) seperti itu, sudah tentu ia memberi kesan kepada parti kita," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, amalan berpuak-puak didapati wujud dalam parti apabila berlaku pemilihan parti sama ada di peringkat cawangan atau bahagian.

"Ia juga berlaku apabila ada pemimpin yang tidak dipilih menjadi calon pada pilihan raya. Calon yang dipilih tidak akan disokong oleh puak lain.

"Kalau kita mahu menang, ketepikan soal peribadi dan utamakan parti, insya-Allah UMNO dan BN akan terus relevan di hati rakyat," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan.

Beliau mengingatkan 'tragedi' pada pilihan raya umum lalu perlu dijadikan iktibar supaya kesilapan dan kelemahan yang ada diperbaiki demi memperkukuhkan parti.

Bercakap pada sidang akhbar selepas itu, Najib berkata, amalan berpuak-puak tidak hanya berlaku dalam UMNO tetapi turut melibatkan parti pembangkang.

Bagaimanapun tambah beliau, amalan berpuak-puak itu tidak menjejaskan prestasi sesebuah parti jika ia dapat dikawal sepenuhnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...